PUSAT Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu akan diperbanyakkan lagi kerana terbukti mempunyai kelebihan berbanding PPV biasa termasuk dapat dilaksanakan di kawasan yang terhad.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tinjauannya hari ini mendapati PPV pandu lalu berjalan dengan begitu lancar dan mungkin boleh diperbanyakkan lagi.

Menurutnya, konsep pandu lalu itu mempunyai kelebihan tidak melibatkan tempat yang besar dan tidak perlu dewan atau khemah serta hanya pandu lalu.
“Ia juga lebih mudah kerana mereka yang hadir untuk vaksinasi tidak perlu cari tempat letak kereta sebab jika terlampau ramai di sesuatu PPV, parkir akan menjadi satu masalah.

“Mereka juga terpaksa berjalan untuk masuk ke dewan berbanding pandu lalu mereka boleh terus pergi ke tempat suntikan dan tidak bertemu dengan orang lain,” katanya selepas meninjau PPV di Jempol, Negeri Sembilan hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, selain itu PPV pandu lalu hanya membabitkan penerima dalam kenderaan yang mana jika hanya berdua maka akan berdua daripada mula proses sehingglah habis.
Ini katanya, berbeza berbanding PPV biasa yang mana penerima terpaksa beratur beramai-ramai, menunggu dalam bilik yang tertutup dan sebagainya.

“Dari segi jangka masa, saya difahamkan tempohnya sama iaitu kira-kira 30 minit sahaja boleh selesai dan kemudian tunggu sebentar dalam kereta dan jika tiada apa-apa boleh pulang,” katanya.

Terdahulu dalam tinjauan hari ini, beliau berkata PPV Jempol mempunyai dua konsep iaitu di dewan dan pandu lalu dengan 600 penerima melalui PPV biasa serta 200 lagi secara pandu lalu.
“Jika vaksin diperoleh seperti dirancangkan, pada Oktober imuniti berkelompok boleh dicapai di Jempol kerana waktu itu 80 peratus penduduknya dijangka sudah divaksinasi dan ini sama dengan perancangan kerajaan di peringkat nasional,” katanya. – Malaysiapost
