CUEPACS mengecam sekeras-kerasnya kenyataan yang tersebar di media sosial kononnya daripada gerakan mewakili kumpulan penjawat awam mendesak supaya Yang di-Pertuan Agong ‘merehatkan’ tugasan Perdana Menteri serta Ahli Jemaah Menteri.
Pada masa sama, kumpulan itu mendesak supaya mewujudkan ‘caretaker goverment’ diterajui Ketua Setiausaha Negara.
Presiden CUEPACS, Adnan Mat menyifatkan kenyataan tersebut tidak bertanggungjawab kerana menggunakan nama dan cuba mengheret penjawat awam bagi mencapai tujuan tertentu sehingga boleh mencetuskan kegelisahan awam.
Katanya, kenyataan tersebut yang dipetik daripada akaun Facebook ‘Gerakan Kakitangan Awam Malaysia’ sama sekali tidak mewakili suara kira-kira 1.7 juta penjawat awam di seluruh negara.
“Sebagai penjawat awam, kami tetap berpegang teguh kepada konsep neutral dan profesionalisme serta menghormati prinsip pembahagian kuasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang dipertahan dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan.
“Mewujudkan ‘caretaker goverment’ merupakan satu langkah sukar untuk dilaksanakan dan tidak mampu menyelesaikan masalah.
“Malaysia sejak sekian lama mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan pembahagian kuasa kepada tiga bahagian dalam pemerintahan iaitu perundangan, kehakiman dan eksekutif,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Adnan berkata, sebarang usaha yang boleh mengganggu kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya akan mengheret negara dalam situasi tidak menentu.
Sehubungan itu, katanya CUEPACS berharap pihak berkuasa menyiasat pemilik atau pengendali sebenar akaun Facebook yang menggunakankan nama Gerakan Kakitangan Awam Malaysia.
“Tindakan tegas dan berat perlu memastikan kejadian sama tidak berulang sehingga mencetuskan ketidaktenteraman awam.
“Orang ramai diminta tidak berkongsi atau menyebarkan kenyataan tersebut sama ada di media sosial atau medium perhubungan lain supaya tidak mengelirukan masyarakat.
“Pihak berkuasa perlu memastikan akaun media sosial tersebut ditutup bagi menjaga nama baik penjawat awam,” katanya. – Malaysiapost

