KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengingatkan masyarakat supaya mengambil iktibar dan tidak mengulangi sikap tidak bertanggungjawab untuk pulang ke kampung bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai ini, kerana kemungkinan akan mencetuskan sekali lagi kluster perayaan dan rentas negeri seperti Jun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, larangan rentas daerah dan negeri masih lagi berkuatkuasa termasuk juga larangan kunjung-mengunjung bagi menyambut perayaan tersebut.
“Jangan pula dalam keseronokan menyambut Hari Raya Korban menyebabkan kita sama-sama ‘terkorban’ dek kerana Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Kluster-kluster komuniti ini tercetus susulan sambutan majlis perayaan yang lalu iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai dengan melakukan aktiviti kunjung mengunjung di kawasan kejiranan atau kampung, perjumpaan antara ahli keluarga dari rumah-rumah yang berlainan termasuk majlis pengebumian.
“Beberapa kluster komuniti ini turut melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan yang disebutkan itu.
“Dalam tempoh 1 Jun sehingga 16 Julai lalu sahaja, sebanyak 1,010 kes positif Covid-19 telah dilaporkan dalam 21 kluster ini, iaitu daripada 5,681 individu yang disaring (kadar positiviti 17.8 peratus).
“KKM turut menzahirkan kekhuatiran berkaitan 21 kluster yang didapati tercetus akibat aktiviti merentas negeri (Import B),” katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan negeri-negeri yang melaporkan jumlah kluster rentas negeri tertinggi sejak 1 Jun lalu adalah Perak dengan lapan kluster (38.1 peratus).
“Ia disusuli Terengganu dengan lima kluster (23.8 peratus) serta Kelantan dengan tiga kluster (14.3 peratus).
“Manakala kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit diabetis atau kanser merupakan kumpulan yang sangat mudah terkesan dengan jangkitan Covid-19.
“Kita harus sedar sistem pertahanan tubuh mereka adalah lebih rendah dan membuatkan mereka mudah dijangkiti Covid-19.
“Tahap kesihatan mereka juga mudah merosot apabila dijangkiti Covid-19, sehingga ada yang boleh membawa kepada kematian,” katanya. – Malaysiapost

