Inisiatif Operasi Lonjakan Kapasiti langkah terbaik – MN Selangor

0
2

MUAFAKAT Nasional (MN) Selangor menyokong penuh inisiatif Operasi Lonjakan Kapasiti yang diumumkan semalam bagi memastikan setiap individu berumur 18 tahun ke atas di negeri itu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos ini.

Menurut kenyataan bersama itu, perkara yang diisytihar oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dan turut mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu merupakan langkah segera terbaik yang diyakini dapat mengurangkan kes pandemik Covid-19 dan melindungi serta menyelamatkan rakyat di negeri ini.

“MN Selangor menyokong supaya kerajaan negeri dapat memberikan kerjasama penuh dalam semangat Federalisma untuk mencapai sasaran operasi ini dan mengenepikan perbezaan politik demi kebajikan rakyat.

“Sesungguhnya tidak ada ikhtiar terbaik di peringkat ini, selain memastikan rakyat jelata menerima vaksin untuk melindungi diri mereka dan keluarga serta masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Pengerusi Bersama Muafakat Nasional Selangor iaitu Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.

MN Selangor menyeru kerajaan negeri menyediakan pasarana dan sebanyak mungkin Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi memastikan tiada lagi vaksin yang tidak terguna akibat kekurangan PPV sebagaimana sebelum ini.

“MN Selangor turut menyeru kedua-dua kerajaan Persekutuan dan negeri saling bantu membantu dan bekerjasama dalam usaha ini dengan koordinasi yang lebih baik demi manfaat rakyat di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, MN Selangor juga berharap rakyat Selangor yang belum menerima vaksin segera tampil bagi menjayakan operasi itu.

“Sesungguhnya keputusan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam membenarkan warga emas yang belum memperolehi temujanji untuk menerima vaksin secara “walk ini” di mana-mana PPV di Selangor mulai hari ini adalah sangat positif dan dialu-alukan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here