Polis kenal pasti individu terlibat perhimpunan kerajaan gagal

0
2

POLIS telah mengenal pasti tiga daripada 20 individu yang menyertai perhimpunan kerajaan gagal di Padang Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, ketiga-ketiga individu itu adalah penganjur himpunan tersebut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan itu diketuai Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang merupakan gabungan beberapa parti politik.

“Semasa himpunan tersebut berlangsung, telah dilancarkan kempen Puisi Darurat bagi menyatakan bantahan terhadap kerajaan kerana gagal menangani Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pada jam 3 petang itu, polis bersama Pasukan Pematuhan PKP pergi ke tempat kejadian dan telah mengarahkan kumpulan tersebut bersurai serta beredar dari Padang Dataran Merdeka.

“Kumpulan berkenaan kemudiannya bersurai dan beredar sepenuhnya kira-kira jam 3.10 petang dari Padang Dataran Merdeka. Tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis akan memanggil semua mereka dalam masa terdekat untuk dikompaun atas kesalahan perlanggaran Perkara 10 Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 iaitu Larangan Berhimpun.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana berhimpun tanpa notis,” katanya.

Pada jam 2.55 petang tadi, 20 individu telah berkumpul di Padang Dataran Merdeka dengan membawa bendera hitam dan banner bertulis ‘Kita Mati Dalam Derhaka, Keluar dan Lawan’ serta lima patung menyerupai jenazah yang dikafan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here