SEEKOR harimau belang betina yang digelar ‘Syamilla Bihai’ berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan, di Kampung Badak, Pos Bihai, Gua Musang, Kelmarin.
Harimau belang itu dipercayai pernah menyerang seorang lelaki Orang Asli suku Temiar, Adin Andok, 48, di kawasan kebun di kampung berkenaan pada 5 Julai lalu.
PERHILITAN dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima aduan kehadiran haiwan itu di kawasan tersebut daripada penduduk kampung.
“Anggota PERHILITAN telah memasang perangkap kamera di sekitar kawasan penemuan itu dua hari selepas aduan.
“Hasil pemantauan daripada kamera yang dipasang, kita dapati ada harimau belang berkeliaran di kawasan berkenaan,” katanya.
Menurut PERHILITAN, harimau itu didapati mengalami luka di kepala, tengah badan, leher dan ekor dipercayai akibat pergelutan dengan mangsa serangan.
PERHILITAN memaklumkan, lapan kakitangannya telah menjalankan operasi tangkapan dan pemasangan satu unit perangkap harimau di kawasan kejadian itu pada 12 Julai lalu.
Operasi pemindahan harimau itu ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak telah dijalankan semalam, bagi rawatan dan pemantauan susulan. – Malaysiapost

