ARMADA Bersatu Malaysia mengambil perhatian isu dibangkitkan penyanyi rap tempatan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli yang kini berada di Kaherah, Mesir untuk misi kemanusiaan di Mesir dan Gaza.
Exco Armada, Muhammad Farhan Abdul Rahim berkata pihaknya difahamkan Caprice mempertikai beberapa insiden oleh pendakwah, Ustaz Ebit Lew yang menjalankan misi kemanusiaan di Gaza, baru-baru ini.
Katanya, beberapa hantaran di Instagram capriceofficial menyatakan terdapat beberapa perkara yang bakal didedahkan mengenai keadaan di Gaza, perkara mengenai Ebit serta kerajaan Malaysia pada 21 Julai ini.
“ARMADA ingin menyatakan tindakan populis sebegini amat membimbangkan serta boleh mencemar nama baik negara.
“Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Palestin merupakan sesuatu yang sangat dibenci Israel dan sekutu mereka, serta satu kebanggaan bagi dunia Islam.
“Hubungan baik ini jugalah yang membantu kerajaan Malaysia menghantar bantuan kepada Palestin selama ini serta menjadi pengantara bagi Palestin dan kuasa besar dunia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Farhan berkata negara seperti Mesir dan Jordan merupakan negara Islam yang membenarkan laluan ke Palestin melalui negara mereka.
Sehubungan itu, katanya, hubungan diplomatik yang baik dengan Mesir amat diperlukan bagi mempermudah urusan bantuan kemanusiaan ke Palestin.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa ARMADA Malaysia menambah, kerajaan melalui Wisma Putra telah berusaha bertahun-tahun bagi mencapai hubungan diplomatik tertinggi dengan negara-negara tersebut.
“Pendedahan yang tidak tahu kesahihannya dan bersifat populis ini jelas sekali menimbulkan pelbagai spekulasi tidak baik terhadap negara serta menyebabkan kegusaran rakyat mahupun penduduk Gaza.
“Kesilapan seorang dalam mengeluarkan kenyataan di negara luar boleh menyebabkan pelbagai masalah timbul khususnya dari segi keselamatan rakyat Malaysia yang berada di negara-negara tersebut.
“Armada berharap Caprice mengelak ‘DIPLOMATIC DISASTER’ ini dan membuat keterangan dengan pihak berkenaan apabila pulang ke tanah air,” katanya.
Beliau juga mengucapkan selamat beramal kepada Caprice dan Ebit dalam membantu saudara Islam di bumi anbiya.
“Kami berharap perkara ini tidak dibesarkan dan memohon rakyat tidak membuat sebarang spekulasi dan fokus bersama kerajaan dalam menangani pendemik Covid-19,” katanya.
Caprice semalam menerusi hantaran mesej melalui WhatsApp kepada Ebit yang dikongsi di Instagram, menyatakan tindakan pendakwah itu yang lebih menyantuni orang dan kanak-kanak miskin di Gaza, dilihat tidak wajar baginda penduduk Palestin yang lain.
“Ada beberapa pihak tak senang tengok gambar-gambar Ustaz yang hanya ‘highlight’ orang dan budak miskin,” katanya.
Caprice juga berkata tidak salah tindakan Ebit membantu orang miskin di sana namun di bumi Palestin, jika menyebut solidariti, rakyat berkenaan faham bahawa mereka juga perlu ‘diraikan’ supaya dunia dapat melihat perjuangan dan semangat mereka.
Bagaimanapun, teguran terbuka itu, menyebabkan Caprice mendakwa disekat dari mengikuti Instagram Ebit.- Malaysiapost

