Amaran WHO: kes Covid-19 kembali meningkat di Asia Barat

0
3

NEGARA-negara di Asia Barat bakal tercetus peningkatan kes jangkitan Covid-19 berikutan penularan varian Delta dan program imunisasi yang perlahan.

Memetik media antarabangsa, amaran tersebut dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selepas peningkatan kes jangkitan secara signifikan direkodkan di Iran, Iraq dan Tunisia, selain situasi sama dijangka berlaku di Lubnan serta Maghribi.

Jangkaan itu berikutan sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut pada minggu depan, yang dikhuatiri meningkatkan kes jangkitan di Asia Barat.

“WHO bimbang sekiranya peningkatan kes Covid-19 terus berlaku dalam tempoh beberapa minggu akan datang dan keadaan itu boleh menjadi ‘malapetaka’,” kata kenyataan pejabat WHO Asia Barat.

Tambahan pula, kekurangan kesedaran mengenai protokol Covid-19 dan program vaksinasi yang perlahan juga bakal memburukkan situasi di rantau ini.

Sehingga kini, Tunisia menjadi negara Asia Barat yang merekodkan kadar kematian per kapita paling tinggi dan kes jangkitan di Iran turut dilaporkan meningkat dua kali ganda dalam tempoh empat minggu sehingga awal bulan ini.

Sementara itu, kenyataan WHO juga menyebut, jumlah keseluruhan kes di rantau Mediterranean Timur termasuk Pakistan, Afghanistan, Somalia dan Djibouti sudah melepasi 11.4 juta dengan 223,000 kematian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here