HKL berdepan ‘lambakan’ jenazah pesakit Covid-19, keluar masuk silih berganti

0
2
Skuad Pengurusan Jenazah covid-19 Malaysia menguruskan jenazah covid-19 setelah dimasukkan ke dalam kubur di Tanah Perkuburan Batu 5 Jalan Ipoh.

MESKIPUN lewat malam, kakitangan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan petugas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) masih belum mampu meletakkan kepala di bantal kerana menguruskan ‘lambakan’ jenazah pesakit Covid-19.

Berkongsi situasi menyedihkan di Facebook, Pakar Perubatan Forensik, Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) HKL Dr Ahmad Hafizam Hasmi berkata, jenazah juga bertali arus dibawa keluar ke perkuburan untuk dikebumikan.

“Jam 10 malam, kami masih bekerja keras bersama JAWI menguruskan jenazah pesakit Covid-19 di HKL.

“Jenazah (jenazah) pesakit Covid-19 juga bertali arus dibawa keluar dari IPFN ke kubur, tempat persemadian terakhir.

“Secepat mana jenazah dikeluarkan dari IPFN, secepat itu juga jenazah baru dibawa masuk ke IPFN dari wad dan juga luar hospital,” luahnya malam ini.

Beliau berkata, semua kakitangan bersama-sama membantu menguruskan ‘lambakan’ jenazah tanpa mengira pangkat dan jawatan.

“Pakar, pegawai perubatan, pegawai sains, penolong pegawai perubatan, jururawat, penolong pegawai rekod, pembantu perawatan kesihatan, polis bantuan, petugas JAWI semua berganding bahu menyelesaikan tugas yang tidak pasti bila akhirnya.

“Tidak terkira penat dan keringat yang membasahi tubuh. Hari esok tugas tetap diteruskan,” katanya.

Tiga hari berturut-turut, Malaysia merekodkan catatan kes melepasi lima angka dengan semalam jangkitan paling tinggi sejak pandemik itu melanda iaitu 13,215 kes.

Pada masa sama sebanyak 110 lagi kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here