Suspek conteng dinding istana, tumbuk polis maut motosikal terbabas

0
2

SEORANG lelaki yang disyaki menconteng dinding tembok Istana Anak Bukit, Alor Setar dan menumbuk seorang anggota polis wanita, maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas, petang semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat  berkata suspek berusia 30-an itu pada mulanya menconteng dinding tembok istana tersebut dengan tulisan ‘SAMR’ pada jam 3 petang, sebelum melarikan diri.

Susulan kejadian itu, beliau berkata, pasukan operasi telah memulakan operasi mengesan suspek berkenaan.

Namun katanya, pada jam 5 petang, suspek dipercayai pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan menumbuk seorang anggota polis yang sedang bertugas.

Dinding Istana Anak Bukit yang diconteng

“Suspek turut membaling objek disyaki pistol mainan lalu melarikan diri menggunakan sebuah motosikal, manakala anggota polis itu cedera di bahagian muka.

“Usaha menjejaki suspek kemudiannya berhasil apabila dia dikesan berada di kawasan Gurun, Sungai Petani,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Kamarul Zaman berkata menyedari kehadiran polis, suspek terus memecut motosikalnya dan tidak mengendahkan arahan polis supaya berhenti.

Katanya, semasa melarikan diri, motosikal yang ditunggang laju oleh suspek terbabas di kawasan Bedong menyebabkannya cedera parah.

“Polis telah menghubungi hospital untuk mendapatkan bantuan ambulans namun pegawai perubatan mengesahkan dia telah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mencederakan penjawat awam dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 memiliki senjata tiruan,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenalpasti motif suspek bertindak demikian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here