58 lagi pertuduhan terhadap bekas Adun

0
2
Datuk Mansor Musa

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Maung di Pulau Pinang, Datuk Mansor Musa didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 58 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM9.22 juta.

Ini kali kedua Ketua Umno Bahagian Bayan Baru itu dihadapkan ke mahkamah, selepas kali pertama didakwa atas 106 pertuduhan sama di Butterworth Isnin lalu, yang membabitkan nilai lebih RM11 juta.

Mansor, 58, Pengerusi Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Bhd, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin, lapor Berita Harian.

Datuk Mansor Musa

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga 42, Mansor didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram antaranya menerima wang dalam bentuk tunai, menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram untuk pembelian saham, rumah dan pembayaran kepada kontraktor melalui syarikat berbeza.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001).

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ke-43 hingga 58, dia didakwa menerima, mengguna dan memindahkan wang daripada sebuah syarikat yang merupakan hasil aktiviti haram.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Sabit kesalahan dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali hasil kegiatan haram atau RM5 juta, atau mana lebih tinggi.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Public Bank cawangan Jalan Raja Chulan dan Starpac Point serta RHB Bank Berhad cawangan KLCC di sini antara Disember 2008 hingga Mei 2015.

Pendakwaan diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah bersama Muhammad Asraf Mohamed Tahir, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Selva Mookiah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan semula kes. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here