PENDAKWAH terkenal, Ebit Lew tidak dapat menyembunyikan perasaaan rindu kepada Allahyarham bapanya yang telah kembali ke rahmatullah pada petang Selasa lalu.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Ebit tidak putus-putus memuji kebaikan bapa semasa hayatnya, dan memberitahu kasih sayang serta hidup bapanya hanya dihabiskan untuk keluarga.
“Saya dah tiada dua-dua. Mak dah pergi. Bapak pun. Ya Allah ampuni dan sayangilah keduanya. Bumi Malaysia dalam keadaan berat ditimpa ujian demi ujian. Perjalanan kali ini terasa perit. Ya Allah berilah aku kekuatan. Terasa lemah tiada kekuatan lagi.
“Teringat masa mak sakit sebelum pergi. Saya menangis nak ikut sekali. Mak cakap, mak dah gembira bangga syukur dapat didik anak anak semua berbuat baik. Sekarang giliran Ebit pula.
“Dua-dua pesan sama jangan risaukan kami teruskan kerja kebaikan dan kebajikan Ebit. Teruskan jaga agama dan dakwah. Syurga tu cantik. Syurga itu indah,” tulisnya di hantaran itu.
Ebit juga menyuarakan rasa terkilan kerana tidak dapat berada di sisi ibu dan bapanya ketika meninggal dunia, namun tidak berasa ralat kerana memegang pesanan kedua-duanya agar meneruskan kerja amal yang dilakukan.
“Katanya tak jumpa di dunia jumpa dalam syurga.
“Mak bapak nanti kita jumpa semula ye. Mak bapak dah janji nak jumpa semula. Ya Allah sampaikanlah rasa sayang rindu ini pada mereka.. jagakanlah mereka disana ya Allah,” ujarnya.
Selasa lalu, Ebit memaklumkan beliau dalam perjalanan ke Hospital Gleanagle untuk membawa jenazah bapanya ke Masjid Bandar Baru Ampang untuk dimandikan.
“Kemudian terus bawa ke Muadzam Shah, Pahang. Pohon doakan buat ayah saya dan hadiahkan AlFatihah,” katanya.
Pegawai khas beliau, M Azizul Fauzi memaklumkan bapa pendakwah kesayangan ramai itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.45 petang. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

