DUN Sabah tidak terbubar walaupun tak bersidang sebelum 1 Ogos

0
2

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak terbubar walaupun persidangan tidak diadakan dalam tempoh enam bulan daripada persidangan terakhir DUN sebelum ini.

Kali terakhir persidangan DUN Sabah diadakan ialah pada 18 Disember lalu bagi membentangkan Belanjawan negeri 2021

Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, berkata Seksyen 15 (1) (a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memperuntukkan pengecualian terhadap Perkara 21 (1) Perlembagaan Negeri Sabah mengenai persidangan DUN.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan DUN Sabah berdepan risiko terbubar secara automatik jika tidak bersidang sebelum 1 Ogos ini.

“Walaupun Perkara 21 (1) Perlembagaan Sabah memperuntukkan DUN Sabah hendaklah bersidang dalam tempoh enam bulan daripada tempoh terakhir sidang DUN yang lalu, tetapi Seksyen 15 (1) (a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memperuntukkan pengecualian kepada Perkara 21 (1).

“Oleh itu orang ramai diminta supaya tidak keliru disebabkan DUN Sabah belum mengadakan persidangan sejak Sidang Bajet 2021 pada Disember 2020 lalu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bagaimanapun, Kadzim berkata, DUN Sabah bersedia untuk mengadakan persidangan pada bila-bila masa ditetapkan kerajaan negeri.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor dilaporkan berkata kerajaan negeri bersedia untuk mengadakan persidangan DUN pada bila-bila masa sejajar pembukaan semula Parlimen.

Berikutan itu, beberapa pihak, khususnya pembangkang menggesa kerajaan negeri mengadakan persidangan DUN dalam kadar segera, termasuk diadakan lebih awal sebelum sidang khas Parlimen yang dijadualkan selama lima hari bermula 26 Julai ini.

Sehingga kini, belum ada perkembangan terbaharu mengenai penetapan tarikh persidangan DUN oleh kerajaan negeri. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here