RCI siasat Tabung Haji ditubuhkan

0
2

KERAJAAN bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (LTH) dari tahun 2014 hingga 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pembentukan RCI itu dipersetujui Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini

“Mesyuarat Jemaah Menteri setuju supaya kerajaan menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai LTH hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, antara terma RCI dipersetujui Jemaah Menteri adalah skop siasatan RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding ke atas isu-isu berbangkit LTH, tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH yang sedang dilaksanakan.

“Menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan (cover up) maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan yang mengelirukan mengenainya.

“Mengesyorkan tindakan sesuai diambil terhadap pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung jika didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa, tanpa menjejaskan apa-apa siasatan dan tindakan perundangan yang sedang dilaksanakan pihak berkuasa berkaitan. Langkah ini bertujuan untuk penambahbaikan dan tadbir urus LTH.

“Mengemukakan kepada kerajaan laporan hasil semakan dan syor mengenai tindakan susulan, jika perlu, dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri akan mengenal pasti senarai keahlian RCI yang dicadangkan terdiri pakar-pakar bidang syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan.

Menurutnya, perincian berhubung penubuhan dari segi terma dan rujukan serta keanggotaan RCI akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Penubuhan RCI ini wajar supaya siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan tersebut dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan LTH.

“Ini juga bagi memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dilaksanakan demi memastikan LTH telah menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam,” tegasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here