TUN Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) pernah berjaya mengawal wabak Covid-19, namun mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah suatu kesilapan.
Bekas Perdana Menteri itu berkata daripada hanya ratusan kes dilaporkan setiap hari, angka jangkitan melonjak mencecah ribuan sehari selepas PRN itu dilaksanakan pada September 2020.
“Pada mulanya amat berjaya (tangani Covid-19) kerana jumlah tak ramai sebab kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).Masa itu kita tak keluar rumah, tak berniaga, tak buat apa, kita asingkan diri dari orang yang dijangkiti.
“Pada mulanya jumlah yang sakit amat kecil, ratusan saja, kita boleh bawa ke hospital dan rawat. Tapi apa yang berlaku kita buat salah, kita buat acara (dihadiri) ramai orang yang bercampur iaitu PRN Sabah.
“Daripada ratusan kes kepada ribu, angka pesakit baru mencecah hingga 2,000 orang, selepas itu masalah jadi lebih besar, kalau kita asingkan orang dan tak buat acara (besar) kita mungkin boleh kawal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual secara langsung program Reset Malaysia yang disiarkan secara maya di laman Facebook beliau hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata lonjakan kes terus berlaku selepas kerajaan mengisytiharkan darurat pada Januari lalu bersama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Namun katanya, angka jangkitan terus meningkat hingga mencecah 5,000 ke 6,000 sehari, menyebabkan kemudahan hospital semakin terbatas dan menyukarkan ramai pesakit untuk mendapatkan rawatan sewajarnya.
“Kemudian walaupun kita nampak seolah-olah kes baru akan berkurang, tiba-tiba ada satu dasar baharu kononnya pelan utk pemulihan, namun angka meningkat hingga 9,000 dan sekarang lebih 11,000.
“Bila angka bertambah besar, masalah lebih besar, tiada tempat dalam hospital dan lebih ramai akan meninggal, daripada kumpulan kecil (pesakit) yang mudah diurus, kini angka begitu besar,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata dalam usaha memulihkan semula ekonomi negara yang sangat terkesan akibat Covid-19, kerajaan perlu terlebih dahulu menyelesaikan masalah wabak berkenaan.
Selain vaksinasi yang lebih cepat dan meluas, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata kerajaan boleh membina hospital baharu seperti dilaksanakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui hospital medan.
“Kita perlu ingat, untuk tangani ekonomi kaitannya amat rapat dengan masalah Covid-19, kena tangani bersungguh-sungguh.
“Kalau tak cukup katil, buat hospital baru. Di United Kingdom (UK) mereka buat hospital untuk 4,000 orang dalam sembilan hari, askar kita boleh buat field hospital (hospital medan),” katanya. – Malaysiapost

