Redakan suhu politik demi rakyat – DPIM

0
2

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), berpendapat persidangan Dewan Rakyat yang dijadual diadakan dalam masa terdekat seharusnya digunakan untuk menyuarakan keluh resah rakyat dan bukannya untuk menukar Perdana Menteri di saat negara berada dalam keadaan kritikal.

Ketuanya Shahir Adnan, berkata senario politik hari ini semakin panas apabila sebilangan pemimpin politik dilihat menggunakan propaganda jahat untuk mendesak Perdana Menteri meletak jawatan atas alasan kegagalan menyelesaikan masalah Covid-19.

“Memang diakui bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tertubuh untuk menyelesaikan kemelut politik Pakatan Harapan (PH) yang gilakan kuasa menduduki kerusi Perdana Menteri, hingga menyebabkan Perdana Menteri ke-7 meletakkan jawatan.

“Disebabkan itu, PN ditubuhkan walaupun dengan majoriti kecil, demi memfokuskan kepada penyelesaian masalah Covid-19 pada ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Perdana Menteri berdepan tiga tugas getir iaitu menyelamatkan nyawa rakyat ketika berdepan Covid-19; menyelamatkan ekonomi negara daripada ranap; dan menyelesaikan kemelut politik yang tidak berkesudahan.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif kerajaan ketika ini untuk menyelamatkan nyawa dalam memerangi wabak Covid-19 termasuk kadar vaksinasi harian dalam negara yang kini tertinggi di dunia dengan purata 400,000 dos sehari.

“Kerajaan juga memberikan peruntukan khas kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kakitangan perubatan agar sistem kesihatan kita tidak lumpuh seperti di India,” katanya.

Shahir berkata, dari sudut kebajikan rakyat, Perdana Menteri turut menyalurkan pelbagai bantuan secara langsung dan tidak langsung termasuk bantuan RM 300,000 kepada setiap ahli parlimen tanpa mengira latar belakang politik.

Menurutnya, DPIM menyeru pemimpin pembangkang dan segelintir pimpinan parti di dalam PN untuk melaksanakan gencatan politik sehingga kes Covid-19 menurun dan pada masa sama, pemimpin PN juga perlu serius dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh.

“Kes harian yang tinggi adalah disebabkan oleh kluster tempat kerja, namun banyak tempat kerja masih dibenarkan beroperasi dan rakyat tidak mahu ‘lockdown’ yang berterusan kerana pendapatan terjejas teruk dan kesihatan mental turut merudum.

“Perbaiki kelemahan agar tiada ruang untuk pembangkang menggunakan modal tersebut untuk propaganda politik jahat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here