SEEKOR Beruang Matahari jantan yang terkena jerat di Ladang Sungai Tekai, Kedah berjaya diselamatkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah Sik, Sabtu lalu.
Perhilitan dalam satu kenyataan di Facebook, memaklumkan operasi melepaskan jerat pada kaki kiri hadapan beruang tersebut telah dijalankan di lokasi kejadian.
“Ia kemudiannya dipindahkan ke Pejabat Perhilitan Daerah Sik untuk tujuan rawatan dan pemantauan susulan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, keadaan kini Beruang Matahari terbabit adalah stabil dan pihak Jabatan Perhilitan akan sedaya upaya menyelamatkannya dan akan dilepaskan semula ke habitat asal setelah kembali sihat.
Disamping itu, Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat tentang perkara ini. Malaysiapost
Foto Kredit: PERHILITAN

