Zon Pengurusan Bencana HATTM terima pesakit Covid-19 esok

0
2

ZON Pengurusan Bencana atau Disaster Management Zone (DMZ) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Kuala Lumpur yang direka khas oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan parkir hospital berkenaan dijangka akan mula menerima pesakit Covid-19 esok.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata DMZ HATTM mampu menampung sebanyak 100 pesakit Kategori 3, dan 50 pesakit Kategori 4 Covid-19 dan jika perlukan bantuan alat pernafasan pesakit boleh dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Beliau berkesempatan meninjau DMZ berkenaan hari ini selepas menghadiri Mesyuarat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC)

“Tinjauan ini bertujuan untuk merencanakan dan memurnikan perancangan strategik pengurusan pesakit-pesakit Covid-19 di Lembah Klang susulan daripada peningkatan kes-kes Covid-19 terutamanya di kategori 3, 4 dan 5 di Lembah Klang yang menyebabkan kesesakan di fasiliti-fasiliti kesihatan di sini.

“DMZ ini ditempatkan di parkir bawah tanah HATTM dan merupakan fasiliti sedia ada yang direka khas oleh ATM sejak pembinaan hospital berkenaan 20 tahun lepas.

“DMZ ini dilengkapi bekalan oksigen berpusat, vacuum ports serta sistem pendawaian elektrik khas bagi tujuan kesiapsiagaan bencana biologi dan kimia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, persiapan kini sedang giat dijalankan oleh HATTM dan dijangkakan untuk menerima pesakit Covid-19 Kategori 3 mulai esok.

“Sebagai makluman, pesakit di kategori 3 adalah pesakit Covid-19 bergejala dengan radang paru-paru manakala pesakit Kategori 4 pula adalah pesakit yang bergejala, mempunyai radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.

“Bagi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), saya ingin mengucapkan ribuan penghargaan dan terima kasih kepada Panglima Angkatan Tentera dan seluruh anggota HATTM di atas kerjasama strategik dalam memerangi pandemik Covid-19 di negara ini. Semoga semua usaha ini dipermudahkanNya demi negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here