KETUA jurulatih pasukan Kedah, Aidil Sharin Sahak keliru dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kerana masih mahu berunding mengenai pembayaran gaji yang masih tertunggak.
Jika KFA berbuat demikian, maka persatuan itu telah melanggar ketetapan diputuskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di mana tiada lagi pemotongan gaji bermula April lalu.
“Apa yang ditetapkan oleh FAM dan MFL pembayaran bulan Mac perlu diselesaikan sebelum Mei atau Jun dan pembayaran selepas itu sepatutnya tidak boleh ada pemotongan.
“Jadi, saya fikir pemain sudah berpegang kepada kenyataan itu dan kita perlu berlaku adil kepada mereka.
“Kami bukannya tidak mahu bertolak ansur tetapi mereka sudah lama bersabar biarpun tidak menerima gaji,” katanya seperti dipetik Stadium Astro.
Jurulatih berasal dari Singapura itu berkata, beliau dan pemain mungkin bersetuju untuk melakukan sedikit pemotongan sekiranya KFA mahu membayar tunggakan gaji sekali gus.
“Melainkan mereka boleh menyelesaikannya (pembayaran) secara sekali gus, kami boleh berbincang lagi untuk melakukan sedikit pemotongan.
“Tetapi sehingga saat ini, kami belum mendapat sebarang berita mengenai bila mereka akan melakukan perbincangan berkaitan pemotongan itu,” katanya. -Malaysiapost

