19 penduduk Kampung Sungai Pelepas kecewa rumah diroboh

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

KECEWA, sedih itulah perasaan yang dialami 19 penduduk Kampung Sungai Pelepas di Desa Subang Perantau apabila rumah mereka dirobohkan Kerajaan Negeri Selangor, hari ini.

Penduduk mendakwa sudah memohon geran kediaman kekal secara berkumpulan sejak sekian lama, namun daripada 105 lot tanah yang memohon hanya mereka sahaja tidak menerima geran sebaliknya diroboh.

Lebih mengecewakan, rumah yang dibina lebih 20 tahun lalu dengan kos antara RM100,000 hingga RM300,000 diroboh dengan diberi pampasan tidak setimpal iaitu antara RM5,000 hingga RM15,000.

Alasan dirobohkan selepas penilaian semula reka bentuk jajaran Sungai Pelempas yang mana ia membabitkan penguatkuasaan perobohan sebanyak 47 struktur termasuk 19 struktur kediaman di Desa Subang Perantau.

Penduduk, Fatimah Bakar, 69, berkata kerajaan negeri langsung tidak mendengar rintihan rakyat dan mendakwa tidak berlaku adil dalam kes berkenaan.

“Waktu nak mengundi, undilah saya bila dah menang tinggalkan rakyat terkebil-kebil, macam mak cik ni orang tua apa kerja mak cik boleh nak buat nak bina semula rumah?

“Sekarang dah roboh, kena menumpang rumah anak…berapa lama nak menumpang? Dah empat tahun mak cik tak berniaga kerana sakit tiba-tiba rumah kena roboh. Bina berpuluh tahun roboh sekejap ja dalam dua jam,” katanya kepada pemberita di tapak rumahnya.

Sementara itu, Sazali Misran, 63, menyoal kepada kerajaan negeri adakah ini hadiah kemerdekaan kepada dirinya, iaitu dengan meroboh rumah yang menjadi tempat tinggal dia dan isteri serta lima anak dan tujuh cucu.

“Saya hanya dapat pampasan RM5,000 itu pun macam dipaksa untuk ambil iaitu kalau tak ambil lepas ni kerajaan tidak akan bagi lagi.

“Habis simpanan saya untuk membina rumah. Dianggarkan lebih RM100,000 juga saya habiskan untuk rumah ini. Tapak ini saya beli selepas dijanjikan akan dapat lot,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk, Masri Mustapha, mendakwa Kerajaan Negeri Selangor mewartakan sempadan sungai itu pada 22 Februari 2018, sedangkan rumah dibina 10 tahun sebelum itu.

“Sepatutnya, semasa kerajaan mewartakan sungai itu, mereka mengambil kira kos pampasan untuk rumah-rumah itu,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Beliau turut mendakwa, bentuk Sungai Pelempas yang diwartakan ini adalah berbentuk melencong ke arah lot tanah kediaman dan tidak mengikut ‘Natural River Flow’.

“Sudah tentu ia menjejaskan kedudukan lot tanah kediaman kami. Bila diperhatikan pada pelan lakar dan pelan Google, dapat dilihat tebing sungai selatan dibina ke sempadan tanah Malaysia Airport Berhad.

“Jika kelebaran seluas 10 meter yang diperlukan untuk sungai ini, seharusnya ianya masih di luar dari sempadan tanah kediaman kami,” katanya. -Malaysiapost.