NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan majoriti ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu tidak pernah menolak keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) untuk menarik kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ketetapan pada PAU yang dicapai 28 Februari lalu masih menjadi pegangan ahli MKT.
Beliau juga menegaskan bahawa ahli MKT Umno akur dengan keputusan yang telah dibuat.
“Bagaimanapun, dalam mesyuarat tempoh hari majoriti ahli MKT berpandangan bahawa desakan untuk parti menarik diri dari kerajaan pada waktu ini bukanlah keputusan yang terbaik dikala rakyat dan negara sedang bergelut dengan krisis kesihatan dan ekonomi.
“Pimpinan Umno sedar rakyat perlu diutamakan dan usaha perlu ditumpu sepenuhnya bagi membantu rakyat yang kesusahan akibat penularan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, petang ini.
Ismail Sabri membuat penegasan tersebut berikutan kesilapan laporan Berita Harian yang bertajuk ‘Majoriti Ahli MKT tak setuju saranan Presiden Umno’ yang diterbitkan semalam.
Kandungan laporan itu menyatakan bahawa majoriti ahli MKT yang menghadiri mesyuarat secara maya tidak bersetuju dengan saranan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya mereka menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – Malaysiapost

