Nurul Huda Abhar
PELBAGAI bantuan dan sumbangan dihulurkan sama ada daripada pihak kerajaan mahupun aktivis kemanusiaan bagi meringankan beban golongan yang terkesan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memerangi virus Covid-19.
Terkini, gerakan bendera putih antara inisiatif untuk membantu individu yang kehabisan bekalan makanan ataupun kini sedang tertekan dengan masalah kelangsungan hidup.
Namun begitu, permintaan untuk menjadi ‘sebahagian’ daripada ahli keluarga jarang ditemui dan itu yang dikongsikan akaun Instagram bernama Noorinora, yang berhadapan dengan seorang pemohon bantuan meminta untuk menjadi ‘madu’ nya.
Menerusi perkongsian itu, Noorinora menerima pesanan peribadi di Instagram di mana seorang wanita tidak memerlukan bantuan makanaan atau wang ringgit, tetapi ingin meminta izin menjadi isteri kepada suami Noorinora.
Wanita bernama Izlyn itu memberitahu tidak berniat untuk menyakitkan hari Noorinora tetapi kini sedang dalam dilema kerana baharu melahirkan bayi dan bapa kepada bapa itu tidak diketahui.
“Saya nampak suami puan mampu, dalam Islam pun sangat digalakkan untuk lelaki isterikan perempuan untuk niat membantu,” tulis wanita itu di pesanan tersebut.
Wanita bernama Izlyn itu juga memaklumkan kini berada di Kapar, Klang dan bersedia untuk berjumpa dengan Noorinora untuk berbincang lebih lanjut.
“Seandainya puan sudi membantu dan meringankan beban saya.. saya sangat berterima kasih dan bersyukur,” ujar wanita itu.
Perkongsian tersebut mendapat reaksi pengguna laman sosial yang rata-rata tidak bersetuju dengan cara wanita tersebut yang menyalahgunakan kebaikan orang yang menghulurkan bantuan.
Menurut netizen, sepatutnya wanita tersebut pergi ke saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah diri dan bayinya, dan bukan mengambil kesempatan atas kebaikan yang diberikan.
“Mengapa mengadu di media, pergi pejabat agama yang terdekat dan terus terang tentang masalah awak. Jiran tetangga pun ada kalau ingin minta tolong. Jangan nampak suami orang sahaja nak terkam.”
“Wahh.. senang kemain hidup ya. Ini bukan nak minta bantuan ye tuan puan, ini nak ambil kesempatan dalam kesempitan.”
“Ini akibatnya kalau suka tunjuk suami di media sosial. Tunjuk suami bagi kemewahan, penyayang. Jaga-jaga banyak mata yang memerhati. Itu pun salah satu cara mahu suami dikongsikan.” – Malaysiapost

