UMNO hanya inginkan seorang ketua negara yang mampu membuat perancangan teliti, rangka kerja lebih efektif dan penyelesaian holistik untuk membendung pandemik Covid-19 supaya negara kembali stabil serta selamat.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang berkata, kerana memikirkan keselamatan dan mengutamakan kesejahteraan rakyat, maka Umno mahu Perdana Menteri ditukar kerana gagal dalam tempoh 16 bulan diberi tanggungjawab untuk menjaga rakyat.
“Sudah banyak keistimewaan diberikan oleh Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menyelesaikan krisis Covid-19 ini.
“Proklamasi darurat, penggunaan bajet tanpa perlu dibentang dan dibahagikan, pelaksanaan bermacam versi PKP serta tiada gangguan politik selama tempoh darurat; tapi apa hasil positifnya?
“Apakah sebuah kerajaan yang terus menerus gagal seumpama ini wajar terus diberi peluang dan kepercayaan untuk menyelamatkan rakyat serta negara?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, Nur Jazlan berkata, persepsi yang mendakwa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menarik sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah kerana ketamakan kuasa adalah tidak relevan.
“Ada yang menuduh Umno tidak sensitif dan mengutamakan rakyat yang sedang bergelut dengan kemelut wabak serta PKPD, dengan bertindak mendesak Perdana Menteri berundur.
“Jadi mengapa kita terus menghukum dan membuat persepsi mudah bahawa Majlis Kerja Tertinggi Umno menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri sebagai tindakan main politik ketika krisis Covid-19 semakin meningkat di negara kita.
“Adakah kita mahu terus bersandarkan kepada sebuah kerajaan yang asyik melakukan perancangan yang silap berulang kali namun mengharapkan keputusan yang berbeza?,” katanya.
Menariknya, menurut Nur Jazlan, Umno sudah menetapkan pendiriannya bahawa bukan Presiden Umno yang mahu diangkat sebagai Perdana Menteri baharu, sebaliknya Umno ingin mencalonkan seorang pemimpin parti yang berkelayakan, berkebolehan dan berpengalaman untuk menjadi Perdana Menteri interim.
“Malah Umno pun bukan berhasrat untuk meletakkan seorang Perdana Menteri yang kekal sehingga PRU15 nanti. Cukup sekadar Perdana Menteri yang dapat menyelesaikan isu Covid-19, negara kembali stabil dan rakyat sudah selamat daripada ancaman wabak.
“Selepas itu Umno akan mengembalikan proses demokrasi melalui PRU15 nanti. Itu sahaja niat, hasrat dan impian Umno. Semuanya dilakukan demi rakyat dan untuk rakyat,” katanya
Nur Jazlan menambah, sepatutnya mereka yang gagal perlu ikhlas mengakui kegagalan itu dan berundur secara terhormat jika benar-benar jujur kepada rakyat.
“Apatah lagi krisis defisit keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap PM semakin merudum atas faktor kegagalan dan kesihatan peribadi.
“Jangan dek terlalu tamak kuasa dan menjunjung kepentingan diri melebihi keutamaan rakyat, mereka mahu terus berkhidmat biarpun sudah banyak fakta serta data yang membuktikan kegagalan mereka,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: FB/Nur Jazlan Mohamed

