Wanita menyusup kawasan PKPD diburu polis

0
3

POLIS memburu seorang wanita disyaki menyusup masuk ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) dekat Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata polis menerima laporan insiden itu pada jam 10.51 malam tadi, selepas tindakan wanita menyusup dalam kawad besi itu dirakam orang awam sebelum tular di media sosial.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati wanita memakai baju gelap dan seluar putih itu memasuki kawasan berkenaan untuk melawat neneknya.

“Usaha mengesan suspek yang dipercayai tinggal di Puchong, giat dilakukan.

“Pada masa sama, ada saksi awam mengaku merakam dan memuat naik video insiden itu berdurasi 30 saat di media sosial, pada jam 6.15 petang semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa.

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Anuar menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular itu kerana bimbang wujud kegusaran dalam kalangan orang awam.

“Setiap individu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang gagal berbuat demikian.” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here