Video lama sebab gas bocor

0
2

POLIS hari ini menjelaskan video tular memaparkan pekerja kilang melarikan diri melalui ladang sawit, sebenarnya berlaku pada 2019 akibat kebocoran gas ammonia.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, jam 7.20 malam semalam, polis telah mengesan video berdurasi 28 saat dimuatnaik pengguna akaun Facebook Edward Likes.

Katanya, video tersebut didakwa sekumpulan pekerja kilang melarikan diri daripada ditahan oleh polis.

“Siasatan awal polis ke kilang seperti yang ditularkan iaitu HLRB Processing Sdn Bhd mendapati tiada kejadian sepertimana yang tular di media sosial.

“Pengurus kilang tersebut mengesahkan video yang tular adalah kejadian kebocoran gas ammonia yang berlaku pada 3 September 2019,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Beliau berkata, ketika kejadian itu, semua pekerja kilang diarah keluar daripada kawasan kilang dan pergi ke kawasan selamat.

Katanya, semasa proses pemindahan tersebut, terdapat beberapa pekerja yang berlari sambil merakam video seperti mana yang tular.

“Dalam hal ini, pengurus kilang mengesahkan video yang ditularkan bukan disebabkan oleh pandemik Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang rakaman atau kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan atau kegentaran masyarakat.

“Siasatan telah dijalankan ke atas pemilik akaun media sosial yang menyebarkan video berkenaan mengikut Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here