PENDIRIAN kepimpinan Umno yang memutuskan untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan tergelincir dari keutamaan rakyat, negara dan parti.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia pasti selari dengan keputusan perwakilan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 pada Mac lalu.
Sehubungan itu katanya, semua ahli Umno perlu yakin terhadap keputusan yang dibuat kepimpinan parti berasaskan pendirian Umno mesti berpaksikan aspirasi rakyat, demi rakyat dan untuk rakyat.
“Tiada individu lebih besar dari Umno. Tiada tokoh lebih penting dari parti dan rakyat.
“Tiada kuasa lebih besar dari kuasa rakyat. Tiada perjuangan lebih bererti dari perjuangan untuk rakyat yang marhain dan yang terjejas.
“Insha Allah, Umno telah ada sebuah pendirian dan jalan kehadapan. Semoga jalan dan pendirian yang direncanakan ini adalah sebaiknya jalan dan pendirian untuk rakyat, tanahair dan parti kita,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Umno malam tadi memutuskan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin berkuatkuasa serta-merta.
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat sejak jam 8.30 malam tadi dan berakhir awal pagi ini.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat susulan mandat sebulat suara perwakilan PAU 2020 dan setelah kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal memenuhi panduan utama digariskan sebagai syarat menyokong kerajaan PN.
Justeru Umno mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik untuk tempoh terhad.
Sementara itu Mohamad berkata Umno tidak pernah diasaskan demi kepentingan lain kecuali memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia, memuliakan Islam, memelihara kehormatan institusi raja dan membangunkan negara.
Pendirian itu katanya, akan terus menjadi pendirian Umno dan sebagai parti politik, kejelasan sebuah pendirian sangat penting.
“Tanpa pendirian, Umno hanya sebuah parti terdaftar, bukan sebuah perjuangan.
“Justeru dalam keadaan negara yang sangat meleset, Umno wajar tampil dengan sebuah pendirian. Membiarkan kemelesetan negara ini menerus, laksana Umno merestuinya.
“Pendirian Umno mesti berpaksikan aspirasi rakyat, demi rakyat dan untuk rakyat,” katanya lagi.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata sistem kesihatan semakin parah, ekonomi merudum dan memburuk, kemiskinan meningkat, mereka yang membunuh diri semakin banyak, kelaparan menjadi nyata, bendera putih, hitam dan segala warna telah dikibarkan.
Malah katanya demokrasi diselewengkan, malah institusi Raja di sanggah dengan tiada susila, maka Umno tidak boleh menjadi sebahagian dari kemelesetan itu.
“Umno mesti senafas dengan kesusahan rakyat, bukan kuasa dan kedudukan.
“Fitrah Umno adalah parti untuk orang kebanyakan serta biasa-biasa, maka untuk merekalah Umno harus bersuara dan berjuang,” katanya. – Malaysiapost

