Umno tarik sokongan, minta Muhyiddin letak jawatan

0
2
zahid hamidi

UMNO memutuskan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat sejak jam 8.30 malam tadi dan berakhir pada awal pagi ini.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu dibuat susulan mandat sebulat suara perwakilan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 pada Mac lalu.

Katanya, ia juga diputuskan setelah kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal memenuhi panduan utama yang digariskan Umno pada 11 Mac tahun lalu sebagai syarat parti itu menyokong kerajaan PN.

“Justeru Umno mendesak Muhyiddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik untuk tempoh terhad,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, tempoh Perdana Menteri yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan.

“Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, Perdana Menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15.

“Ini penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana terhasrat dalam titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat MKT juga menegaskan pendirian sebagaimana yang diputuskan dalam PAU 2020, untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ataupun kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH Lead Government),” katanya.

Ahmad Zahid sebelum itu menyenaraikan tujuh indikasi kegagalan kerajaan PN yang menyebabkan ia gagal memenuhi garis panduan ditetapkan Umno iaitu:

  1. Kegagalan tangani pandemik secara berkesan hingga cetus keresahan dan kemurungan amat serius kepada rakyat termasuk polisi tidak konsisten, PKP separuh masak dan berubah-ubah hingga rakyat terkurung sia-sia enam bulan.
  2. Kegagalan amat nyata dengan menyalahgunakan darurat yang hanya dianggap untuk muslihat politik.
  3. Kegagalan pertahankan sistem demokrasi berparlimen hingga memandulkan amalan semak dan imbang yang menjamin hak dan suara takyat untuk pantau kerajaan dalam tangani pandemik.
  4. Kegagalan urus bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan untuk semua peringkat dan kategori termasuk moratorium tanpa caj, dasar moratorium tidak dipanjangkan ke sektor lain seperti LPPSA dan pelbagai bantuan lain menyebabkan ramai tercicir.
  5. Kegagalan kerajaan di mana seharusnya dapat beri keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat dalam uruskan kebajikan mereka hingga berlaku peningkatan amat serius dalam permasalahan sosial seperti bunuh diri serta berlaku gerakan bendera putih.
  6. Kegagalan dalam uruskan kestabilan politik dan ekonomi hingga wujudkan ketidakyakinan pelabur asing
  7. Begitu juga kegagalan kerajaan yang memperkotak katik titah Agong dan raja-raja pemerintah hingga terpaksa berulang kali keluarkan kenyataan media berhubung persidangan Parlimen. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here