Syed Saddiq kecewa kerajaan tak peduli isu moratorium

0
2

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kecewa kerana kerajaan masih yang membenarkan bank mengambil keuntungan dalam isu menawarkan moratorium kepada rakyat.

Syed Saddiq berkata, moratorium edisi Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0) yang ditawarkan kali ini tidak sama seperti PKP1.0.

Beliau berkata, moratorium kali ini juga bukan moratorium yang bebas dari dikenakan kadar faedah dengan setiap bank boleh kenakan kadar faedah kepada pelanggan.

“Dalam erti kata lain, setiap bank boleh kenakan kadar faedah masing-masing, dan ini bermaksud kadar dan jumlah pinjaman anda akan bertambah,” katanya dalam hantaran Facebook.

Syed Saddiq berkata, beliau percaya ramai yang keliru kerana kerajaan sebelum ini pernah menyatakan bahawa tidak membenarkan bank mengenakan kadar faedah atas faedah.

“Namun, bank masih lagi boleh kenakan faedah atas 6 bulan moratorium ini.

“Bank Negara Malaysia sendiri sahkan bahawa moratorium ini akan tingkatkan kes keseluruhan pinjaman. Anda akan kena bayar lebih dari jumlah asal termasuk faedah (kerana tambah lagi 6 bulan faedah),” katanya.

Seyd Saddiq berkata, namun beliau percaya ramai yang akan tetap memohon moratorium berkenaan kerana rakyat ketika ini benar-benar dalam kesusahan.

“Rakyat sedang susah dan enam bulan tanpa perlu bayar semula pinjaman akan banyak membantu. Tetapi saya juga kecewa dengan tindakan kerajaan yang membenarkan bank mengambil untung dari waktu susah ini.

“Saya sudah banyak kali gesa kerajaan untuk buat perlindungan moratorium tanpa ada sebarang syarat atau cas tersembunyi. Malangnya, ini adalah kerajaan yang degil dan malas berfikir untuk rakyat,” katanya.

Semalam, media melaporkan, peminjam perlu memahami bahawa dengan mengambil bantuan bayaran balik pinjaman, kos pinjaman akan meningkat secara keseluruhan kerana faedah/keuntungan akan terus terakru (diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman yang tertangguh.

BNM berkata, bank-bank dikehendaki memberikan penerangan kepada peminjam mengenai kesan pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman terhadap jumlah bayaran ansuran dan tempoh pembiayaan.

“Apabila peminjam memohon untuk mendapatkan bayaran ansuran yang lebih rendah (dan bukan mengekalkan bayaran ansuran yang asal) selepas moratorium, hal ini boleh menyebabkan tempoh pinjaman mereka menjadi lebih panjang.

“Bank-bank dikehendaki memberikan penerangan kepada peminjam mengenai kesan pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman terhadap jumlah bayaran ansuran dan tempoh pembiayaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here