KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan untuk mengadakan persidangan Parlimen selama lima hari bermula 26 Julai ini.
Beliau mendakwa, ia merupakan satu penipuan kerana memendekkan tempoh persidangan serta menyegerakan kelulusan berkaitan Ordinan.
“Parlimen akhirnya diputuskan untuk bersidang selama lima hari, bermula 26 Julai ini. Namun, ada beberapa persoalan yang tidak boleh dikompromi sama sekali.
“Persoalan pertama yang dibangkitkan adalah untuk apakah Parlimen bersidang. Sidang Parlimen selalunya untuk memastikan kerajaan itu ditadbir dengan baik.
“Ia menurut peraturan atau tata kelola, tadbir urus yang baik supaya jangan ada penyalahgunaan kuasa serta ada dikatakan semak dan imbang,” katanya menerusi rakaman video di Facebooknya.
Beliau berkata, tidak ada gambaran persidangan akan disertakan dengan perbahasan yang terbuka seperti kelaziman.
“Tetapi apa yang cuba dilakukan satu bentuk penipuan adalah memendekkan sidang, menyegerakan kelulusan beberapa undang-undang ordinan termasuk Ordinan Darurat dan tidak ada petunjuk bahawa akan ada perbahasan terbuka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memberi peringatan kepada Perdana Menteri dan kerajaan dalam keadaan terumbang-ambing ini, jangan memperalatkan Speaker Dewan Rakyat demi kepentingan diri.
“Dan ia yang juga harus diberi peringatan bahawa kita tidak akan pandang ringan soal Covid-19, kebajikan rakyat, peruntukan kepada rakyat, soal salah guna kuasa ini bukan soal yang ringan,” katanya.
Beliau juga berharap kerajaan tidak menggunakan peraturan secara sewenang-wenang, sebaliknya menjadikan Parlimen satu medan perbahasan untuk rakyat dan negara.
“Jangan cuba mengguna peraturan, cara sesuka hati tanpa menekankan prinsip asas demokrasi berparlimen iaitu menggunakan Parlimen sebagai medan berbahas, menjaga perlembagaan negara, menyuarakan aspirasi rakyat dan menentukan pemerintahan itu absah.
“Serta menjalankan tugas dan kuasa mengikut undang-undang termasuk tidak mencemarkan undang-undang dan menyalahgunakan kuasa dengan rasuah dan segala kebobbrokan yang kita lihat sekarang,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan bersetuju menasihati Yang Dipertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai ini.
Manakala bagi Dewan Negara pula, persidangan akan diadakan selama tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos ini. – Malaysiapost

