KPKT perluaskan MOVAK kepada penjaja kecil

0
2

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperluaskan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) kepada golongan peniaga kecil dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

Program kerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu membabitkan penjaja pasar malam, pasar tani, pasar pagi, pasar basah dan lain-lain peniaga yang termasuk dalam kategori penjaja dan berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurut kenyataan Unit Komunikasi KPKT, Menterinya Datuk Zuraida Kamaruddin, telah menyempurnakan projek rintis Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) kepada 504 individu daripada 8,812 orang penjaja yang berdaftar di bawah Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

“Seramai 51 orang petugas dan sukarelawan terlibat dalam program pada hari ini iaitu 18 orang terdiri daripada petugas kesihatan dan 33 orang lagi adalah petugas bukan kesihatan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, program yang akan dilaksanakan di seluruh negara itu mensasarkan lebih daripada 500,000 penjaja dan peniaga kecil khususnya di kawasan bandar dapat divaksin dengan segera.

“Tumpuan diberikan kepada kawasan yang mempunyai kadar suntikan vaksin yang rendah dan jangkitan yang tinggi.

“Selangor dipilih sebagai destinasi pertama kerana mempunyai jumlah jangkitan kes yang tertinggi dan belum menunjukkan potensi penurunan kes ketika ini.

“Justeru, KPKT mensasarkan pemberian suntikan vaksin kepada 49,084 individu dari golongan penjaja di negeri ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, inisiatif ini adalah bertujuan membantu peniaga kecil yang berdaftar dengan PBT untuk menerima vaksin Covid-19 susulan dari kebenaran yang telah diberikan kepada penjaja kecil untuk berniaga di kawasan PBT masing – masing dalam tempoh Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini.

“Ia juga secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan dan bahaya terhadap golongan penjaja berikutan peranan mereka yang sentiasa bertemu dengan orang ramai dalam aktiviti perniagaan harian,” katanya.

Menurut kenyataan itu, MOVAK merupakan inisiatif KPKT bersama KPN bagi menyokong usaha kerajaan dalam melancarkan proses vaksinasi dan membantu meningkatkan jumlah kehadiran di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Katanya, program itu dilaksanakan dengan kerjasama pihak PBT dan KRT serta disokong oleh sukarelawan Penggerak Komuniti Negara (PKN).

“Program MOVAK ini mempunyai empat komponen yang terdiri daripada Unit Panggilan, Unit Mobilisasi, Unit Jangkauan Komuniti dan Unit PPV Bergerak.

“Penggemblengan usaha kerajaan dan NGO ini diharapkan dapat membantu kelancaran Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan seterusnya mempercepatkan proses imuniti kelompok,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here