“SAYA tiada masa nak main politik,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jalamuddin Abu Bakar.
Pendirian itu dinyatakan Khairy susulan tuntutan pihak tertentu dalam Umno yang menggesa menteri Kabinet dari parti itu untuk meletakkan jawatan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau tidak mempunyai masa untuk memenuhi kehendak politik ketika ini kerana mahu memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjalan lancar.
Beliau berkata demikina pada sidang media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Sejurus memberi jawapan ringkas itu, beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berlalu pergi tanpa menjelaskan secara konkrit pendiriannya tentang perkara itu.
Terdahulu, kepimpinan Umno menggesa Ahli Parlimen parti itu meletakkan jawatan sebagai menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebelum 1 Ogos ini.
Malah, Umno yang kononnya memberi gambaran akan berlaku penarikan sokongan oleh Ahli Parlimen parti itu, atau barisan menteri kabinetnya juga seakan-akan tidak disenangi beberapa wakil rakyat Umno sendiri.
Difahamkan, sehingga kini parti itu masih belum menemui titik persetujuan dalam isu berkenaan. – Malaysiapost

