KERAJAAN Sabah tidak mengenakan sekatan kepada mana-mana individu termasuk pemimpin dari Semenanjung untuk memasuki Sabah sejak kerajaan negeri diambil alih Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya pada 2018.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menjelaskan beliau sendiri membuat keputusan menamatkan sekatan yang dikenakan kerajaan terdahulu kepada beberapa pemimpin PKR dan DAP.
Berikutan itu, beliau mengakui terkejut apabila dimaklumkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ditahan Jabatan Imigresen ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), malam tadi.
“Saya terkejut kerana sejak 2018 kita tidak menghalang sesiapa pun yang masuk ke Sabah. Dulu, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Teresa Kok dihalang oleh kerajaan sebelum ini tapi saya batalkan sekatan terhadap mereka,” katanya pada satu majlis di Kota Belud, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan Guan Eng di KKIA malam tadi yang didakwa dibuat atas nasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata beliau difahamkan Guan Eng berada dalam senarai SPRM kerana mempunyai kes berkaitan rasuah dan ia dibuat oleh ibu pejabat agensi itu di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, katanya senarai itu hanya menghalang individu terbabit ke luar negara, sama seperti golongan yang tidak membayar cukai.
“Kalau masuk ke Sabah ia tidak diambil kira. Jadi, perkara ini harus diambil perhatian dan apa-apa tindakan diambil oleh Pusat harus diselaraskan dengan negeri kerana Sabah ada kuasa terhadap Imigresen.
“Perlu ada kerjasama Pusat dan negeri sebab kalau membabitkan kes SPRM tidak boleh masuk Sabah, bukan saja Guan Eng, Najib pun sepatutnya tidak boleh masuk, jadi jangan berpilih,” katanya.
Guan Eng menerusi hantaran di Facebook pagi tadi mendakwa beliau dibawa ke Pejabat Imigresen di KKIA selepas tiba dari Kuala Lumpur malam tadi kerana SPRM meletakkan halangan terhadapnya.
Bagaimanapun, menurut Malaysiakini, Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki sudah menjawab mengenai dakwaan itu dan menyatakan Guan Eng hanya dihalang ke luar negara, bukan ke Sabah. – Malaysiapost

