“Rakyat fikir kelangsungan hidup, pemimpin ada yang tambah isteri”

0
2

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kesal kerana masih ramai pemimpin di negara ini yang tidak sensitif dengan situasi rakyat yang bergelut dengan masalah ketika pandemik Covid-19.

Menurutnya, tatkala rakyat berhempas pulas memikirkan cara untuk meneruskan kelangsungan hidup, sebaliknya ada pemimpin kini sedang seronok memaparkan sedang bercuti di luar negara bahkan ada yang berkahwin lain.

“Kegilaan apakah ini? Tatkala rakyat sedang bertarung, murung dan tertekan memikirkan soal kelangsungan hidup, anak bini kelaparan akibat barang dapur kehabisan, dapur tak berasap, sewa rumah tak terbayar, pampers susu anak tak terbeli, hutang keliling pinggang;

“..ada kalangan pemimpin yang bagaikan ‘mati rasa’ langsung tidak sensitif, bangga mengisytiharkan anak-bini hidup senang di luar negara, memperagakan kemewahan, berkenduri durian, bahkan ada yang menambah cawangan!

“Tolonglah ada sedikit rasa cakna (empathy) pada rakyat ketika ini,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Sejak kebelakangan ini, media melaporkan terdapat beberapa pemimpin negara yang didakwa tidak cakna dengan isu rakyat dan masih menggayakan kehidupan mewah walaupun rakyat kini terkesan dengan Covid-19.

Selain itu, tular klip video yang memaparkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon bersama beberapa individu lain menikmati durian di sebuah kebun.

Selain itu, kisah Datin Seri Haflin Saiful yang juga isteri kepada Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dikecam selepas memuat naik foto di Instagram dikatakan berlepas ke Perancis.

Dikatakan tujuan Haflin yang juga bekas pengacara televisyen itu adalah untuk mendaftarkan anaknya yang berumur lima tahun bersekolah di negara itu.

Selain itu, muncul juga dakwaan mengenai seorang Ahli Parlimen menambah isteri ketika rakyat sedang bergelut dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Difahamkan, majlis akad nikah Ahli Parlimen itu diadakan secara dalam talian dengan seorang imam dari Narathiwat, Thailand dan turut dihadiri oleh dua saksi.

Ahli Parlimen yang mempunyai jawatan dalam kerajaan itu turut menyerahkan mas kahwin sebanyak RM11,111 kepada isteri mudanya yang dikatakan berasal dari Selangor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here