Kawat duri di PPR Kampung baru Air Panas kesilapan teknikal

0
3
Suasana hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Permai, Sungai Besi ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

PEMASANGAN kawat berduri merentasi tangga di Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur, berpunca daripada kesilapan teknikal.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata kawat berduri sepatutnya tidak dipasang di tangga, sebaliknya di aras bawah PPR berkenaan.

“Memang betul ada mesyuarat penyelarasan PKPD PPR dihadiri wakil bomba dan ahli komuniti setempat sebelum ini.

“Ada persetujuan mengenai pemasangan kawat duri itu, namun ia disebut secara umum. Perkara yang berlaku adalah isu kecil dan sudah diperbetulkan (kawat berduri di tangga dibuka semula).

“Dalam hal ini, kita akan pastikan tahap keselamatan penduduk diutamakan dan sentiasa mempunyai laluan keluar kecemasan jika berlaku insiden tidak diingini seperti kebakaran,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengarahkan kawat duri dipasang di tangga Blok C Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dibuka serta-merta.

Menurutnya, pemasangan kawat duri di laluan tangga PPR dikenakan PKPD adalah tidak dibenarkan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah mengesahkan pemasangan kawat berduri di laluan tangga Blok C PPR itu telah dipersetujui JBPM.

Katanya, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat penyelarasan PKPD yang diadakan sebelum ini.

Beberapa gambar tular di media sosial semalam memaparkan anggota tentera ATM memasang kawat berduri di laluan tangga Blok C bangunan berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Pemasangan kawat berduri berkenaan adalah bagi mengelakkan penduduk keluar atau masuk dari blok berkenaan yang kini berada di bawah PKPD sehingga 16 Julai depan. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/07/03/annuar-arah-buka-kawat-duri-di-ppr-kampung-baru-air-panas/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here