LPPSA: Bekas menteri tak faham masalah rakyat biasa

0
3

TIDAK salah CUEPACS membawa suara penjawat awam yang memohon moratorium daripada Lembaga Pinjaman Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Presiden CUEPACS, Adnan Mat ini kerana mereka turut terjejas apabila pasangan masing-masing tidak lagi boleh berniaga, dipotong gaji malah ada yang diberhentikan kerja.

“Selain itu, kebanyakan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan melihat daripada kesan langsung kepada isi rumah dan bukannya individu semata-mata.

“Kebanyakan penjawat awam juga memohon pinjaman LPPSA dengan mengemukakan pendapatan bersama mereka dengan pasangan masing-masing bagi membolehkan pembiayaan diluluskan.

“Jika tidak, sudah tentu pembiayaan penjawat awam ini sukar mendapat kelulusan apatah lagi dengan harga kediaman yang mahal ketika ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab kenyataan seorang bekas menteri yang mempersoalkan alasan di sebalik permohonan CUEPACS menggesa kerajaan dan LPPSA melakukan penangguhan bayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam sepertimana dilakukan oleh bank-bank swasta yang lain.

Bekas menteri itu dilaporkan berpendapat penjawat awam tidak wajar diberi penangguhan bayaran pinjaman perumahan LPPSA memandangkan mereka semua tidak terjejas dari segi pendapatan masing-masing.

Sebaliknya bantuan atau apa-apa inisiatif wajar diberi secara bersasar kepada mereka yang terkesan sahaja.

Mengulas lanjut mengenainya, Adnan berkata konteks yang cuba disampaikan bekas menteri tersebut tidak begitu tepat kerana menyentuh penjawat awam sebagai individu dan bukannya sebagai isi rumah.

Katanya, CUEPACS akui daripada sudut individu penjawat awam sememangnya tidak terkesan daripada segi pendapatan, namun daripada sudut isi rumah hampir 50 peratus pasangan tidak bekerja di sektor kerajaan turut terkesan dengan pandemik yang melanda negara ketika ini.

“Sekiranya LPPSA membenarkan penangguhan bayaran pinjaman dilakukan, mereka yang terbabit akan mempunyai lebihan pendapatan yang boleh digunakan untuk merancang kembali kewangan serta membantu keluarga yang dalam kesusahan.

“Pelaksanaan moratorium pinjaman bank dan pengeluaran akaun KWSP yang diumumkan oleh kerajaan tidak menetapkan syarat. Walaupun ada pihak yang tidak terjejas dari segi pendapatan, mereka turut dibenarkan membuat pengeluaran KWSP serta memohon moratorium.

“Pelaksanaan inisiatif tersebut juga bukanlah mandatori kerana hanya mereka yang mahukannya sahaja boleh memohon dan mereka yang tidak mahu kerana tidak terjejas tiada masalah untuk tidak memohon,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan melaksanakan inisiatif itu kerana mendengar rintihan golongan M40 dan T20 yang turut mengalami peningkatan tanggungan kerana mereka juga membantu ahli keluarga atau saudara yang terjejas akibat Covid-19.

“Sebab itulah kerajaan tidak menetapkan apa-apa syarat dalam isu moratorium dan pengeluaran KWSP. Jadi, tiada salahnya untuk penjawat awam turut sama mendapat moratorium pinjaman LPPSA kerana secara isi rumahnya mereka turut terkesan,” katanya.

Adnan menambah, kenyataan bekas menteri itu yang mendakwa tidak perlu dibantu kerana masih mempunyai pendapatan hasil daripada wang pencen juga menunjukkan beliau tidak memahami masalah sebenar rakyat biasa apabila sudah berjaya menikmati hasil daripada kerjaya politik.

“Walaupun hanya menerima pencen, jumlah wang di dalam akaun bank bekas menteri tersebut tidak boleh disamakan dengan rakyat biasa.

“Simpanan dalam bank beliau mungkin tidak perlu diusik seperti dialami oleh pesara kerajaan lain yang mungkin langsung tiada wang simpanan kerana masih mempunyai anak sedang belajar.

“Jika semua pesara kerajaan seperti bekas menteri tersebut, adalah wajar kerajaan tidak perlu lagi memberi apa-apa bantuan. Bagaimanapun adakah semua nasib pesara kerajaan sama seperti bekas menteri tersebut?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here