5 negeri beralih ke Fasa 2 PPN 5 Julai

0
2

LIMA negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis setakat semalam memenuhi semua nilai ambang untuk beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa Isnin ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika mengumumkan perkembangan itu berkata kelima-lima negeri tersebut mencatatkan liputan vaksin lengkap melebihi 10 peratus.

Selain itu, katanya, purata kes harian Covid-19 kelima-lima negeri tersebut juga mencatatkan pengurangan seperti yang dipantau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Pada masa sama, katanya, kapasiti katil Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi menyediakan rawatan kepada pesakit Covid-19 di semua negeri itu merekodkan penyusutan daripada paras kritikal ke peringkat sederhana.

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peralihan ke fasa kedua itu akan berkuatkuasa pada Isnin ini.

“Tindakan ini adil bagi negeri-negeri yang mencapai nilai ambang, sedangkan sebelum ini mereka kekal di Fasa Satu kerana tidak boleh berpindah ke Fasa Dua kerana terdapat negeri yang mempunyai kes tinggi.

“Jika mahu tunggu Selangor capai nilai ambang kebangsaan tentu sahaja Perlis tidak boleh berpindah ke Fasa Dua. Dengan tindakan terbaharu ini kita boleh membebaskan negeri-negeri tersebut dari Fasa Satu ke Fasa Dua,” katanya dalam sidang media khas bersama Menteri Kewangan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM serta Kementerian Kewangan akan terus memantau status nilai ambang di setiap negeri.

Menurutnya, pemantauan tersebut dari segi status lima negeri yang telah berada di Fasa Dua dan beralih ke Fasa Tiga, atau negeri yang berada di Fasa Satu akan beralih ke Fasa Dua setelah mencapai nilai ambang yang ditetapkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here