PASANGAN pengantin dari Kuala Lumpur dan Selangor perlu menangguhkan akad nikah berikutan ketetapan baharu dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini.
Ia selepas penetapan majlis akad nikah hanya dibenarkan bagi pasangan pengantin dan wali yang bukan dari lokaliti atau mukim di Kuala Lumpur dan Selangor yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Jawi dalam kenyataan berkata, majlis akad nikah di jabatan itu boleh diteruskan kepada mana-mana pasangan yang telah mendapat kebenaran nikah Jawi dengan syarat pasangan pengantin dan wali bukan dari dua kawasan itu.
Menurut kenyataan itu, kebenaran sama turut diberikan bagi urusan perceraian dan rujuk.
“Slot janji temu di Jawi boleh dibuat melalui www -icktime.com/awi dengan mengambil kira alamat semasa pemohon bukan dari lokaliti dan mukim PKPD terbabit.
“Hanya pelanggan yang telah mendapat pengesahan janji temu dan saringan alamat semasa sahaja dibenarkan hadir atas urusan yang telah disenaraikan,” katanya kenyataan itu hari ini.
Katanya, sepanjang berurusan di jabatan ini, pelanggan hendaklah sentiasa mematuhi peraturan yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawi dari semasa ke semasa.
Bermula 12 tengah malam ini, PKPD akan berkuatkuasa di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 Julai sehingga 16 Julai 2021.
Pelaksanaan PKPD tersebut selepas situasi Covid-19 kedua-dua negeri itu menunjukkan trend jangkitan yang tinggi. – Malaysiapost

