AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Razlan Rafii menyifatkan kedegilan kerajaan untuk mendengar pendapat dan pandangan rakyat berhubung pembukaan sektor perkilangan, merupakan punca kes harian Covid-19 makin meningkatkan walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilakukan.
Beliau berkata, pihaknya telah merayu kepada kerajaan untuk melaksanakan PKP penuh supaya sektor ekonomi termasuk kilang ditutup untuk mengawal penularan wabak Covid-19, namun ia tidak didengari.
“Lockdown hari pertama yang dikatakan sebanyak 7,105. Kita minta PKP full total lockdown.. tetapi mereka tak buat full lockdown, kereta masih banyak di jalan raya.
“Lepas itu, kita cakap kilang-kilang banyak buka akan menyumbang kepada kes meningkat. Kita cakap lagi dengan kerajaan tolong lah buat full lockdown one for all sekurang-kurangnya rakyat boleh melihat penurunan daripada jangkaan kes yang terdapat di kilang dan juga sektor pembinaan termasuk tempat kerja
“Tetapi kerajaan tak dengar malah minggu lepas, saya buat video, kerajaan membidas terang-terang kenyataan saya bahawasanya tidak ada sumbangan daripada tempat kerja atau kilang,” katanya menerusi hantaran video.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Menteri Besar Selangor turut mengakui penyumbang kes positif di negeri itu adalah kilang.
Sehubungan itu, beliau meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melakukan keputusan yang tepat demi rakyat dan negara.
“Semalam Menteri Besar Selangor cakap sebanyak 80 peratus penyumbang utama pandemik dengan jumlah kes terbanyak adalah kilang. Selangor ini kalau kita keluar dari peta Malaysia, angka dah 4,000 ke bawah, semalam Selangor hampir 3,000.
“Kita dah bagitahu awal-awal minta tolong kerajaan Muhyiddin Yassin. Tolong buat satu keputusan yang tepat pada masa.. masa ini adalah satu perkara yang penting.. apabila masa ini berjalan tanpa keputusan yang tepat sudah pastinya rakyat akan tidak terbela.. tidak makan.. kerja tak boleh buat.. perniagaan teruk, hancur dan lebur,” katanya.
Beliau turut meluahkan rasa kesal kerana banyak sektor pekerjaan terjejas seperti perhotelan dan perkhidmatan penghantaran.
Katanya, ianya akan menyebabkan lebih ramai yang hilang pekerjaan akibat keputusan kerajaan yang disifatkan mementingkan diri.
“Hari ini (semalam) kita lihat, hotel istana pun nak ditutup, macam mana pekerja-pekerjanya nanti. Manakala Pos Malaysia, rider-rider diberhentikan kerja, bagaimana mereka nak sara diri.
“Itulah kita kata buat full lockdown, pentingkan nyawa dahulu.. nyawa dah selamat keselamatan semua jadi baik baru kita lihat kepada ekonomi.
“Kita dah cakap beberapa kali tapi masih ada di antara Muhyiddin dan pasukan pentingkan ekonomi. Jadi pada sesiapa kita nak mengadu. Tengoklah sekarang PKPD di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur jadi dah banyak makan masa,” katanya. – Malaysiapost

