KETUA Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan menyelar sikap pemimpin kerajaan yang seolah-olah tidak ada rasa bersalah kerana menyebabkan peningkatan kes bunuh diri di kalangan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, tindakan dan langkah yang diambil pemimpin kerajaan ketika ini menyebabkan rakyat tertekan kerana hilang sumber pendapatan dan pekerjaan.
“Pemimpin sedar atau tidak langkah-langkah yang mereka buat dengan menyekat rakyat daripada mencari makan demi sesuap nasi, menyebabkan rakyat hilang pekerjaan, bantuan-bantuan yang diberi terlalu lambat.
“Mereka diarah duduk dirumah merenung atap sejak satu setengah tahun yang lalu, telah menyebabkan ramai di antara mereka hilang pertimbangan dan mengambil jalan singkat dengan mengambil nyawa sendiri,” katanya dalam hantaran Facebook.
Zahida berkata, beliau menasihati pemimpin kerajaan supaya tidak hanya memikirkan kuasa dan bermuhasabah diri serta kembali ke pangkah agama.
“Amat menyedihkan bila 270 orang telah mati dengan membunuh diri dalam masa 6 bulan pada tahun ini sahaja purata dua kes sehari. Bagaimana mereka-mereka yang terlintas untuk membuat perkara yang sama? Berapa ramai lagikah?.
“Para Pemimpin juga akan mati, walaupun dengan kekayaan berbukit didunia. Tidak takutkah bila anda disoal diakhirat kelak.
“Adakah para-para pemimpin tidak berdosa kerana menyebabkan ramai rakyat terdesak sehingga sanggup membunuh diri setiap hari,” katanya.
Semalam, media melaporkan, sebanyak 1,738 kes bunuh diri dicatatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2019 hingga Mei lalu.
Jumlah itu melibatkan 609 kes untuk tahun 2019, 631 (2020) dan 498 pada Januari hingga Mei lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, dalam tempoh itu, kes tersebut melibatkan 1,427 wanita dan 281 lelaki.
“Kebanyakan mangsa adalah berusia 15 hingga 18 tahun iaitu 872 orang manakala lingkungan umur antara 19 hingga tahun pula seramai 668 orang,” katanya. – Malaysiapost

