SELEPAS Ketua-ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor dan Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Akmal Nasrullah Mohd Nasir selaku Ketua AMK Malaysia, beberapa ketua AMK Melaka turut mengambil tindakan sama hari ini.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, beberapa ketua AMK Melaka mendakwa kepimpinan Akmal Nasrullah yang lemah dan tidak efektif dalam mengemudi AMK di peringkat nasional menjurus kepada kegagalan kepimpinan AMK di peringkat negeri.
“Ketua AMK Melaka menyatupadukan anggota di peringkat negeri dan cabang selepas pemilihan parti dan selepas Langkah Sheraton jelas membuktikan ketidakupayaan beliau dalam memimpin sayap pemuda negeri.
“Beliau dilihat mengikut lenggok Ketua AMK Malaysia apabila hanya memilih untuk bermain politik daripada bergerak melakukan gerak kerja di peringkat akar umbi,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, sehingga kini AMK Melaka tiada hala tuju yang jelas dan tidak tersusun.
“Sehubungan itu, mewakili majoriti ketua-ketua AMK Melaka, kami mengisytiharkan telah hilang kepercayaan terhadap B Prasanth Kumar selaku Ketua AMK Melaka.
“Kami juga secara sebulat suara memutuskan telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Akmal Nasrullah selaku Ketua AMK Malaysia,” katanya.
Mereka turut menuntut agar satu Kongres AMK Luar Biasa (EGM) diadakan segera bagi memilih semula Ketua AMK Malaysia yang baharu demi memastikan kestabilan sayap pemuda serta mengukuhkan parti.
Kenyataan bersama itu dibuat oleh Ketua AMK Alor Gajah, Mohd Khuzaire Mohd Kamal; Ketua AMK Tangga Batu, Muhamad Qayyum Ab Aziz; Ketua AMK Masjid Tanah, Mohd Faizal Othman; dan Ketua AMK Hang Tuah Jaya, Naqiuddin Nazrin. – Malaysiapost

