Penduduk dakwa terima ugutan kerana kibar bendera putih

0
2

TINDAKAN 13 keluarga di Bukit Setongkol, Kuantan menaikkan bendera putih untuk meminta bantuan, didakwa tidak disenangi pihak tertentu sehingga diarahkan menurunkannya.

Difahamkan, penduduk dimaklumkan bahawa tindakan mengibar bendera putih adalah satu kesalahan dan sesiapa yang gagal menurunkannya akan disaman.

Justeru, kerana bimbang dikenakan tindakan, penduduk akur apabila bendera yang dipasang sejak Selasa lalu terpaksa diturunkan semalam, selepas diarah berbuat demikian oleh seorang individu yang datang bersama tiga anggota polis.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ana, 43, berkata, dia bersama penduduk di situ sepakat untuk menaikkan bendera putih selepas rata-rata mereka hampir terputus bekalan makanan.

Menurutnya, dua bendera putih dipasang di jalan masuk dan belakang kawasan rumah mereka dengan harapan ‘isyarat’ itu disedari pihak-pihak yang prihatin untuk datang hulur bantuan.

“Kebanyakan kami di sini bekerja sebagai peniaga dan buruh hilang sumber pendapatan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

“Memang selepas bendera itu dipasang ada sebuah persatuan datang hulurkan sumbangan, namun selepas itu seorang pemimpin setempat datang menegur minta bendera itu diturunkan segera kerana menjadi kesalahan dan tidak dibenarkan polis,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Terdahulu penduduk berkenaan menerima kunjungan ADUN Teruntum, Sim Chong Siang yang menghulurkan bantuan makanan kepada keluarga terlibat.

Ana berkata, dia dan penduduk keliru apabila tindakan mereka dikatakan satu kesalahan sedangkan kempen kibar bendera putih yang tular di laman sosial berlaku di seluruh negara malah ada yang berbuat demikian mendapat bantuan sewajarnya.

Video kejadian itu tular di laman sosial selepas dimuat naik pengguna Facebook hingga mendapat pelbagai reaksi netizen.

Sementara itu, Chong Siang berkata, arahan menurunkan bendera putih dinaikkan penduduk yang memerlukan bantuan tidak sepatutnya berlaku.

“Sekiranya betul tindakan ini tidak dibenarkan oleh pihak polis, perkara ini perlu dijelaskan kerana ia tidak menjadi masalah di tempat lain.

“Tujuan kempen ini adalah bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mana-mana pihak yang memerlukan dan amat terdesak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here