Bendera putih: “Siapa pun berhak tolak cadangan” – Nik Abduh

0
2

AHLI Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, mempertahankan pandangannya yang menyeru rakyat melawan Covid-19 dengan kesatuan dan doa yang berterusan berbanding mengibarkan bendera putih untuk meminta bantuan.

Pemimpin PAS itu mengakui ramai yang marah dan memintanya memohon maaf berhubung pandangannya itu.

Menurut Nik Mohamad Abduh, pandangan beliau adalah pilihannya sendiri dan tidak semestinya sama dengan yang lain dan diterima ramai.

“Cadangan kekal cadangan. Ia bukan menjadi kebenaran hanya kerana viral. Siapa pun berhak menolak cadangan. Yang ditegah adalah menolak kebenaran.

“Viral bukan panji kebenaran. Sebahagiannya kebaikan dan bagus sekali. Dan saya sentiasa yakin, sebahagian besarnya adalah hasutan dan tipu daya iblis. Ia mendorong kenistaan, kebencian dan perlecehan terhadap sesama insan.

“Janganlah ketika Allah menurunkan bencana Covid-19, Allah mengangkat akhlak, adab dan susila daripada kita semua,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Nik Mohamad Abduh berkata, tulisannya sentiasa tegar untuk mengajak rakyat Malaysia berfikir secara dalam dan teliti.

“Ia demi kesejahteraan negara. Seruan saya, lawan Covid-19 dengan kesatuan, doa dan usaha yang berterusan. Atau mudahnya, lawan Covid-19 dengan cara anjuran agama,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Nik Mohamad Abduh berkata rakyat tidak sepatutnya diajar mengalah dengan mengangkat bendera putih apabila berdepan ujian Allah SWT.

Beliau berkata, mereka yang diuji sebaliknya perlu menadah tangan memohon doa kepada Allah SWT.

Perkara itu dinyatakannya dalam satu hantaran di laman Facebook dipercayai susulan kempen mengibar bendera putih yang mula dilancarkan di media sosial dengan meminta orang ramai mengibarkan bendera putih jika memerlukan sebarang bantuan akibat terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here