Isu lantikan YDP Dewan Negara dibincang malam ini

0
3

ISU lantikan Yang di-Pertua Dewan Negara akan dibincangkan pimpinan Perikatan Nasional (PN) malam ini.

Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin, berkata perkara itu akan dibincangkan dan diputuskan secara konsensus.

“Saya yakin pada malam ini barangkali akan ada berlaku mesyuarat tergempar antara ketiga-tiga komponen PN ini untuk menentukan siapa yang lebih layak dipilih.

“Sebab kita kena konsensus dalam hal ini. Saya bukan ahli senator Dewan Negara tapi cuma Insya-Allah arahan-arahan akan diberikan kepada senator di bawah PAS berteraskan kepada perbincangan diperingkat Majlis Presiden,” katanya dipetik daripada laporan Malaysiakini.

Perbincangan itu susulan dakwaan bahawa Umno turut menyerahkan calon sendiri bagi mengisi jawatan itu walaupun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mencadangkan nama Tan Sri Dr Rais Yatim.

Menurut laporan itu lagi, Umno dikatakan mencalonkan nama Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad pada 31 Ogos lalu, iaitu dua hari sebelum sidang berlangsung.

Dua lagi calon ialah Yusmadi Yusof (PKR) dan Theodore Douglas Lind (Warisan).

Sementara itu, Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pihaknya baru dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Saya pun baru terima berita tersebut dan esok saya pun akan mengundi dan saya akan ikut arahan daripada pimpinan dalam parti untuk undi Rais Yatim sebagai Speaker bagi pihak Bersatu.

“Jadi apa yang pihak Umno buat itu saya pun tidak ada komen panjang melainkan kita akan lawan secara demokratiklah dalam dewan,” katanya. – Malaysiapost