Malaysia terima bantuan RM1.7 juta dari Brunei

0
2

MALAYSIA menerima sumbangan alat bantuan pernafasan dan kit ujian Transcription- Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19 dari Brunei bernilai RM1.7 juta.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sumbangan itu akan ditempatkan di hospital kerajaan di Labuan, Sabah dan Sarawak mulai Julai ini.

Katanya, sumbangan berkenaan akan membantu sistem kesihatan Malaysia di Labuan, Sabah dan Sarawak mendepani situasi semasa yang mencabar susulan pandemik Covid-19.

“Baru selesai mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawat, Yang Berhormat Datuk Seri Setia Haji Erywan, Menteri Luar Negeri II Negara Brunei Darussalam.

“Alhamdulillah, saya ingin maklumkan bahawa Kerajaan Brunei Darussalam berbesar hati menyumbang alat bantuan pernafasan dan PCR Covid-19 test kits bernilai RM1.7 juta yang akan ditempatkan di Hospital Kerajaan di Labuan, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Brunei serta kerajaannya atas keprihatinan berkenaan.

“Brunei antara negara terawal yang bekerjasama dengan Malaysia sejak pandemik melanda tahun lalu.

“Inilah lambang keakraban kedua-dua negara – saya dan Datuk Erywan akan pastikan hubungan baik ini terus dipelihara sebaiknya. Terima kasih Brunei!,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, mereka turut menyentuh mengenai pelaksanaan konsensus yang dicapai semasa Mesyuarat Pemimpin ASEAN April lalu.

“Ia berhubung ASEAN-Myanmar, mandat dan pelantikan utusan khas ASEAN serta garis masa yang relevan untuk melaksanakannya,”katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here