PAS Selangor mendakwa terdapat parti politik menangguk di air keruh susulan kempen kibar bendera putih yang dilancarkan netizen menerusi media sosial.
Ketua Penerangannya Syarhan Humaizi Halim, berkata bendera putih yang dikatakan sebagai signal sebahagian rakyat memerlukan bantuan itu dipolitikkan dengan menukar kepada persepsi bahawa ia tanda protes kepada kerajaan.
“Namun ada parti politik yang menangguk di air keruh. Mempolitikkan isu derita rakyat untuk menimbulkan keresahan dan serta melontarkan persepsi seakan pihak kerajaan dan entiti ini tidak peduli nasib dan keluhan rakyat,” katanya di Facebook, hari ini.
Mengulas mengenainya, Syarhan berkata, rakyat memang terkesan sejak pandemik Covid-19 melanda negara setahun yang lalu, namun kerajaan tetap membantu rakyat menerusi pelbagai program yang dilancarkan.
“Dalam negara kita Malaysia, tidak dinafikan turut terkesan dengan serangan pandemik. Rakyat jelata terkesan. ‘Survival’ hidup menjadi isu utama. Iaitu rata-rata kebanyakan rakyat yang berniaga secara kecil-kecilan, begitu juga syarikat-syarikat sangat terjejas dari sudut perniagaan.
“Cuma, tidak keterlaluan boleh disebutkan bahawa rakyat Malaysia masih ada pihak yang peduli dan prihatin. Pihak Kerajaan Malaysia, sedari awal pandemik tidak berhenti-henti menyediakan insentif dan bantuan pada rakyat.
“Terbaru apabila Perdana Menteri mengumumkan soal moratorium dan pakej PEMULIH yang menelan peruntukan keseluruhan sebanyak RM150 bilion,” katanya.
Tambah Syarhan, PAS sendiri bersama beberapa NGO sebelum ini tidak menunggu pun kibaran bendera putih dalam mengesan dan membantu golongan yang terkesan untuk diberi bantuan yang sepatutnya.
“Begitu juga, kesan ekonomi rakyat disedari oleh pihak Parti PAS, NGO dan orang perseorangan. Seluruh negara semua entiti ini digerakkan untuk menyalurkan bantuan.
“Daripada PAS sendiri, Jabatan Amal, Khidmat Malaysia, Lajnah Kebajikan seluruh Parlimen bergerak tanpa henti. Samada diberikan signal bendera putih atau tidak. Tidak kira latar belakang politik, kaum dan agama,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: Sarawak Voice

