110 AMK hilang kepercayaan terhadap Akmal Nasir

0
2

ENAM bekas orang kuat Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa Akmal Nasir tidak layak lagi menerajui kepimpinan sayap PKR itu.

Menerusi kenyataan bersama hari ini, mereka mendakwa 110 Ketua AMK Cabang PKR telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Akmal.

“Keputusan yang dilakukan oleh Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasir dalam perlucutan jawatan sebahagian besar pimpinan jelas memberi gambaran bahawa dia tidak menjalankan tanggungjawab dengan sewajarnya.

“Sejumlah 110 Ketua AMK Cabang Rasmi (menang bertanding) daripada 137 secara keseluruhannya menolak serta hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Akmal Nasir,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan bekas Ketua AMK Selangor Najwan Halimi, bekas Ketua AMK Perlis Azam Karap dan Naib Ketua AMK pusat Syed Badli Shah.

Selain, bekas Penolong Setiausaha AMK Malaysia, Naqib Nasruddin; bekas Timbalan Pengarah Strategi AMK Malaysia, Fakhrulrazi Zailan dan bekas Pengerusi Biro Mahasiswa AMK Malaysia, Shahrul Nizam.

“Kami berpandangan bahawa jika rombakan mahu dilakukan atas asbab Pemilihan Parti Keadilan Rakyat dilanjutkan sehingga tahun 2023, maka lebih baik rombakan itu dilakukan secara keseluruhan terhadap tampuk kepimpinan AMK.

“Sudah terang lagi bersuluh bahawa Akmal Nasir merupakan Ketua AMK Malaysia paling lemah dan tidak efektif dalam sejarah kepimpinan AMK,” katanya

Sehubungan itu, mereka menggesa AMK Malaysia mengadakan Mesyuarat Agung Khas (EGM) bagi melantik Ketua AMK Malaysia baru yang mempunyai keabsahan.

Krisis dalaman sayap PKR mula memuncak susulan Akmal memecat Najwan daripada Ketua AMK Selangor dua hari lalu.

Turut dipecat dari jawatan masing-masing ialah Azam Karap dan Syed Badli.

Menurut kenyataan AMK Pusat, rombakan ini dilakukan sebagai persediaan PKR menghadapi pilihanraya akan datang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here