KEMPEN mengibarkan bendera putih oleh netizen di media sosial nyata memberi impak dalam memudahkan menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Kempen ini sangat membantu dan ini terbukti menerusi satu perkongsian Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamarudin di media sosial hari ini.
Zuraida membuat hantaran di Facebook yang memaklumkan bantuan telah disalurkan kepada sebuah keluarga yang telah mengibarkan bendera putih di rumahnya hari ini.
“Hasil makluman penduduk Ukay Perdana kepada saya tadi, terdapat satu bendera putih yang dikibarkan di kawasan tersebut.
Bantuan telah disalurkan kepada penerima oleh Pejabat Parlimen Ampang.
“Semoga ianya bermanfaat dan dapatlah meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan. Kita fokus bantu sesama kita,” katanya yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Kempen mengajak orang ramai mengibar bendera berwarna putih menjadi tular di laman sosial sejak semalam dan mendapat respon positif daripada ramai pihak.
Semakan di laman sosial mendapati carian tanda pagar ‘bendera putih’ adalah saranan kepada mereka yang memerlukan bantuan agar berbuat demikian supaya jiran sekeliling dapat mengetahui dan berbuat sesuatu.
Insiatif bendera putih itu adalah sebagai antara usaha mengelak mereka yang terkesan akibat pandemik agar tidak mengambil tindakan yang merugikan diri sendiri dan insan tersayang. – Malaysiapost

