Ramai pengunjung restoran keliru SOP ‘dine in’ di Sabah

0
2
Kelihatan restoran mamak di Desa Sri Hartamas tiada pelanggan yang makan disebabkan arahan bungkus makanan sahaja dibenarkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0).

SELEPAS beberapa hari pengumuman kebenaran untuk ‘dine in’ di Sabah, tular berapa rungutan pengunjung dan pengusaha kedai makan yang keliru dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan negeri.

Ia selepas seorang pengunjung kedai makan di sebuah restoran di Api-Api Centre, yang terletak di Kota Kinabalu bingung setelah diarahkan keluar ketika baru ingin menjamu selera.

Pelanggan tersebut, Mohd Reduan Salim, 32, berkata, ketika sampai di kawasan berkenaan, dia melihat beberapa restoran membuka kedai dengan menyediakan kerusi dan meja untuk pelanggan.

Katanya, tanpa rasa was-was, dia terus masuk ke sebuah restoran dan memesan makanan dan minum untuk sarapan pagi.

“Bagaimanapun, ketika baru saja mula menjamu selera, pemilik kedai mengarahkan saya segera keluar dan memaklumkan akan membungkus makanan untuk dibawa pulang.

“Pemilik kedai mendakwa prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan kerajaan negeri semalam belum berkuatkuasa dan mereka boleh dikenakan kompaun kerana membenarkan pelanggan makan di dalam kedai,” katanya memetik laporan Deasoka.

Mohd Reduan berkata, cubaan untuk menjelaskan perkara sebenar yang diumumkan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkenaan kebenaran untuk ‘dine in’ gagal kerana pemilik mendakwa ia belum dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, terdapat ramai pengusaha yang menyuarakan kekecewaan yang sama dengan apa yang berlaku.

Seorang pengusaha restoran Fizo Mustapa berkata, pada awalnya dia membenarkan pelanggan makan di kedai kerana kebenaran itu sudah diumumkan Ketua Menteri Sabah.

Katanya, kenyataan itu dikeluarkan di laman facebok rasmi ketua menteri dan boleh dianggap sahih.

”Kenyataan rasmi yang dikeluarkan Facebook rasmi beliau itu membuatkan ramai yang beranggapan pelanggan boleh makan di premis restoran.

”Tetapi hari ini, saya dengar ada restoran yang diarahkan tutup dan diarahkan supaya tidak membenarkan ‘dine in’ oleh penguatkasa.

”Apa semua ini, kenapa dulu SOP dapat dikeluarkan lebih awal sekarang pula tidak dapat? Sudah pasti perkara ini menjadikan rakyat bingung, kenapa kerajaan macam ini?,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Barisan Pengguna Sabah (CFOS) Nordin Thani mempersoalkan tindakan kerajaan yang mengumumkan beberapa kelonggaran tetapi sehingga kini masih belum ada SOP baru dikeluarkan.

Katanya, tindakan itu bukan saja membingungkan tetapi turut mempermainkan perasaan rakyat khususnya peniaga yang mahu melakukan segala persiapan termasuk membeli bahan makanan untuk dijual.

”Sepatutnya perkara itu perlu diumumkan secara jelas, jangan hanya umum untuk gembirakan hati rakyat tetapi tiba-tiba ianya tidak berlaku seperti diharapkan.

”Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, pengurusan krisis itu penting supaya satu keputusan dapat dicapai dengan baik dan lebih efektif,” katanya.

Menurutnya, keputusan yang kerap berubah-ubah hanya mencerminkan kerajaan kurang kredibiliti.

Isnin lalu, Hajiji mengumumkan beberapa aktiviti sosial dan ekonomi di Sabah dibenarkan beroperasi oleh kerajaan negeri sepanjang dua minggu lanjutan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.

Aktiviti yang dibenarkan adalah makan di restoran; kedai makan dan restoran dalam hotel; pembukaan gerai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan; serta kedai gunting rambut.

Aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal juga dibenarkan.

Sementara itu, aktiviti pembuatan dan perkilangan diperluaskan kepada industri getah, simen dan cat; kilang berasaskan kayu dan perabot. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here