Individu, kumpulan berhimpun akan ditangkap – Ayob Khan

0
3
ayob khan polis johor official

POLIS Johor akan bertindak menahan mana-mana individu atau kumpulan yang berkumpul susulan tular satu rakaman video mengajak orang ramai berhimpun pada jam 12 tengah hari di beberapa lokasi, esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya tidak akan memberi amaran bersurai, sebaliknya tangkapan akan terus dibuat jika terdapat perhimpunan di mana-mana lokasi di negeri berkenaan.

Menurutnya, pihaknya sudah menggerakkan semua elemen keselamatan bagi melakukan kawalan yang bersesuaian.

“Siapa berkumpul tengah hari esok, kita akan terus tangkap. Zaman PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) nak berkumpul buat apa, baik duduk rumah.

“Polis Johor sudah ambil langkah awal memantau. Kalau ada mana-mana individu atau kumpulan yang berkumpul kita akan terus ambil tindakan. Tiada lagi nak beri amaran, kumpul sahaja, kita akan terus tangkap,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai video berdurasi dua minit 40 saat yang tular di media sosial sejak semalam.

Video berkenaan mengajak orang ramai berhimpun bagi membantah pelaksanaan PKP menerusi ‘operasi’ dikenali sebagai Black Democracy.

Semalam, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Zainal Abidin Kasim, dalam satu kenyataan berkata,Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menganjur atau menyertai sebarang perhimpunan dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau dilaporkan berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mereka yang dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Polis Johor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here