Jangan nafikan hak pegawai perubatan kontrak – Puad

0
3

AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan kerajaan tidak seharusnya menjadi pandemik sebagai alasan untuk menyelesaikan isu pegawai perubatan berstatus kontrak.

Menurut beliau, terdapat lebih kurang 23,000 pegawai perubatan berstatus kontrak yang mahukan pembelaan dilantik ke jawatan tetap.

“Jika doktor gigi, guru, polis, pegawai tadbir diplomatik, imigresen dan lain-lain boleh dilantik ke jawatan tetap, kenapa tidak mereka?

“Isu ini sudah bertahun. Tiada penyelesaian. Lebih setahun mereka jadi frontliner tanpa rehat. Maka langkah mogok adalah wajar jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) pekak telinga,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mohd Puad berkata, pegawai berstatus kontrak dinafikan hak seperti biasiswa untuk menjadi pakar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pinjaman perumahan, dan terbatas peluang memajukan karier.

“Sepatutnya Kerajaan PN buka pintu untuk berunding. Bukan ugut untuk ambil tindakan disiplin. Sekurang kurangnya bagi mereka kemudahan EPF (KWSP) terlebih dahulu.

“Doktor kontrak adalah sebahagian daripada frontliner yang tidak kenal erti penat. Mari kita sokong perjuangan frontliner kita,” ujarnya.

Terdahulu, MalaysiaKini yang memetik sumber melaporkan sekumpulan pegawai perubatan kontrak dari Hospital Sultanah Nur Zahirah di Terengganu memaklumkan mereka berisiko menghadapi tindakan disiplin sekiranya menyertai hartal yang dirancang akhir bulan depan.

Dalam laporan itu menyebut, seorang doktor lain berkata pegawai perubatan kontrak tidak dihalang untuk mengambil bahagian dalam hartal tersebut, tetapi mereka diberi amaran akan ada risiko penamatan segera kontrak atau ia tidak akan disambung selepas ini.

Doktor itu berkata Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu Dr Saifur Rahman Muhammad memberitahu sebagai penjawat awam, dia tidak dapat menyokong hartal yang didakwa bertentangan dengan etika mereka.

Pegawai perubatan terbabit juga diingatkan mereka telah mendaftar untuk menjadi kakitangan kontrak dan kerajaan tidak berkewajiban untuk memberikan mereka jawatan tetap.

Difahamkan, sesi pertemuan yang serupa dengan pegawai perubatan kontrak juga akan diatur di hospital kerajaan yang lain dan juga pejabat kesihatan negeri di Terengganu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here